NATIONAL

Edar lebih 10kg dadah MDMA, lelaki warga Singapura berdepan hukuman mati

Bernama 06/05/2025 | 08:31 MYT
Tan Ban Choon (kiri) mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin, namun tiada pengakuan direkodkan. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura berhadapan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan mengedar lebih 10 kilogram (kg) dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bulan lepas.

Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 48 tahun, Tan Ban Choon, berhadapan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas kesalahan mengedar lebih 10kg dadah jenis MDMA pada April lalu.
  • Selain pertuduhan pengedaran, Tan juga didakwa atas tiga kesalahan memiliki dadah jenis heroin, ketamin, MDMA serta satu pertuduhan memiliki kanabis, yang membawa hukuman penjara dan sebatan.
  • Kes ini dikaitkan dengan kejayaan polis Johor menumpaskan lima sindiket dadah dalam operasi berasingan bulan lepas, dengan rampasan dadah bernilai hampir RM9 juta dan penahanan lima lelaki, termasuk seorang warga Singapura.

Tan Ban Choon, 48, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tan didakwa mengedar dadah berbahaya jenis serbuk MDMA dengan berat kasar 10,024 gram (g) di sebuah rumah di Danga Bay, Johor Bahru lebih kurang 10 malam, pada 23 April.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan.
Tan juga mengangguk faham bagi tiga lagi pertuduhan memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar sembilan gram, ketamin (berat kasar 31.30g) dan MDMA (berat kasar enam gram).
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Tan didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidak melebihi lima tahun dan sebat tidak kurang tiga sebatan tetapi tidak melebihi sembilan sebatan.
Selain itu, Tan juga mengangguk faham bagi satu pertuduhan memiliki kanabis dengan berat kasar 44g yang boleh didakwa di bawah Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidak melebihi lima tahun dan sebat tidak kurang tiga sebatan tetapi tidak melebihi sembilan sebatan.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di tempat dan waktu yang sama.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Mohammad Khalid Ab Karim kemudiannya menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan kejayaan polis Johor menumpaskan lima sindiket dadah menerusi tujuh operasi berasingan di empat daerah negeri itu bulan lepas, dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM9 juta.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata lima lelaki termasuk seorang warga Singapura ditahan dalam operasi yang dijalankan di Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi.
-- BERNAMA
#lelaki warga Singapura didakwa #mengedar dadah #Tan Ban Choon #dadah MDMA