Beberapa langkah drastik berhubung kaedah pembelajaran dan pengajaran (PnP) perlu diambil sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi, menurut Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Dalam laporan bertajuk “Pendidikan Ketika COVID-19”, Pengurus Penyelidikannya, Ya Shin Wan berkata, lanjutan PKP akan mengakibatkan penutupan sekolah lebih lama dan seterusnya memberi impak lebih besar kepada pelajar, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Beberapa negara telah mengambil langkah mengedarkan peranti elektronik kepada pelajar untuk meningkatkan lagi akses PnP.

“Di Finland, Amerika Syarikat, dan beberapa wilayah di China, pelajar mempunyai peluang untuk meminjam peranti elektronik dari sekolah masing-masing untuk mengakses platform dalam talian. Selain itu, ada juga syarikat swasta yang memberi alatan kepada pelajar yang memerlukan,” katanya lagi.

Selain itu, Shin Wan berkata, pengunaan saluran khas televisyen untuk PnP juga perlu diperluaskan lagi

Malaysia, jelas beliau, telah memulakan inisiatif ini sejak 6 April lepas melalui slot Kelas@Rumah selama dua jam sehari di TV Okey dan tempoh itu boleh dipanjangkan lagi untuk kanak-kanak pelbagai peringkat umur.

“Menurut kajian Pengunaan ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2018, hanya 87 peratus isi rumah mempunyai akses internet, manakala 71.7 peratus isi rumah mempunyai komputer.

“Sebagai perbandingan, 98.6 peratus isi rumah mempunyai televisyen. Jadi liputan untuk pelajar adalah lebih luas sekiranya menggunakan televisyen sebagai platform pendidikan,” katanya lagi.