Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown "ditahan sekejap" di Singapura pada Sabtu, menurut laman Facebook Sarawak Report.

Menurut laman itu, Rewcastle-Brown ditahan pada 1 pagi selepas melancarkan buku hasil penulisannya di sini.

"Ternyata seseorang telah meletakkannya namanya dalam senarai hitam pada 2016 tetapi pihak berkuasa Singapura berada dalam kebingungan tentang mengapa beliau diletakkan dalam senarai hitam.

"Selepas menjelaskan mengenai penglibatannya dalam pendedahan skandal 1MDB, beliau kemudian dibebaskan. Mereka mencadangkan supaya beliau membangkitkan masalah "senarai hitam" yang menimbulkan misteri" itu kepada pihak berkuasa," kata Sarawak Report.

Wartawan penyiasat kelahiran Britain Rewcastle Brown adalah orang yang mula sekali mendedahkan skandal 1MDB atau 1Malaysia Development Berhad.

Buku yang dihasilkannya, juga bertajuk Sarawak Report, memperincikan pengalamannya mendedahkan skandal tersebut.

-- BERNAMA