MALAYSIA

e-Invois fasa 4, STSDS fasa bermula esok, pemangkin reformasi percukaian digital negara

Bernama 31/12/2025 | 08:09 MYT
LHDN menggalakkan semua pembayar cukai meneroka manfaat e-Invois secara sukarela untuk meningkatkan daya saing perniagaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melaksanakan dua inisiatif utama percukaian negara mulai 1 Jan 2026, iaitu pelaksanaan e-Invois Fasa 4 dan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1, selaras dengan agenda reformasi percukaian serta usaha memperkukuh transformasi digital negara.

LHDN memaklumkan pelaksanaan e-Invois Fasa 4 melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta, sekali gus menjadi pemangkin penting bagi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), khususnya dalam aspek pendigitalan dan pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurut LHDN, inisiatif e-Invois meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memperkukuh pengurusan rekod secara sistematik serta memudahkan pematuhan cukai secara telus.

"Terkini, lebih 843 juta e-Invois telah direkodkan melibatkan 113,800 pembayar cukai di seluruh negara, membuktikan tahap penerimaan yang memberangsangkan serta komitmen pembayar cukai terhadap pelaksanaan inisiatif ini," menurut kenyataan itu.

LHDN turut merakamkan penghargaan kepada lebih 48,800 perniagaan, khususnya pembayar cukai Fasa 4, yang telah melaksanakan e-Invois secara sukarela sebagai persediaan awal sebelum pelaksanaan mandatori.

Bagi memastikan pelaksanaan lebih inklusif, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian e-Invois bagi pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM1 juta, bagi memberi ruang kepada perniagaan kecil memperkukuh kedudukan ekonomi sebelum beralih sepenuhnya ke era pendigitalan.

Namun, LHDN menggalakkan semua pembayar cukai meneroka manfaat e-Invois secara sukarela untuk meningkatkan daya saing perniagaan.

Bagi menyokong pelaksanaan itu, LHDN menyediakan Portal MyInvois secara percuma, termasuk MyInvois e-POS, platform Point-of-Sale digital yang membantu mengurangkan kos operasi seperti langganan perisian, percetakan dan penyimpanan dokumen fizikal.

"Sebagai galakan, perniagaan yang mendaftar dan menggunakan MyInvois e-POS mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2026 boleh mendapatkan pencetak resit percuma daripada LHDN," menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pelaksanaan STSDS Fasa 1 akan menggantikan sepenuhnya Sistem STAMPS, yang ditamatkan hari ini.

"Semua urusan penyeteman akan dimigrasikan ke Sistem e-Duti Setem bermula 1 Januari 2026," menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan ujian log masuk ke Portal MyTax telah dibuka lebih awal mulai 17 Dis lepas bagi memudahkan peralihan, namun masih terdapat pengguna STAMPS yang belum memiliki Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau Sijil Digital, sekali gus menjejaskan akses ke portal.

Sebagai langkah sementara, pengguna STAMPS sedia ada dibenarkan mengakses Sistem e-Duti Setem melalui pautan https://stamps.hasil.gov.my/stamps/ sehingga 30 Jun 2026 bagi semua kategori surat cara.

LHDN menggalakkan semua pembayar duti dan ejen menggunakan Portal MyTax sebagai hab utama dengan satu ID bagi semua aplikasi LHDN, serta mengambil tindakan segera untuk mendapatkan TIN dan Sijil Digital.

Sistem STAMPS akan ditutup bermula 6 petang ini bagi tujuan penyelenggaraan dan migrasi data, manakala Sistem e-Duti Setem boleh diakses esok mulai 8 pagi.

"LHDN komited menyediakan sokongan, panduan dan saluran bantuan bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua inisiatif ini lancar dan berkesan, seterusnya memastikan sistem percukaian negara terus maju seiring arus digitalisasi global," menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui Hasil Contact Centre (HCC) di 03-8911 1000, Meja Bantuan e-Invois HASiL di 03-8682 8000 (24 jam), e-mel myinvois@hasil.gov.my, atau HASiL Live Chat.

-- BERNAMA

#e-invois #LHDN #Sistem Taksir Sendiri Duti Setem #MyInvois e-POS