[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Ejen insurans mengaku tidak bersalah simpan, eksport ungka dan cuscus

Bernama 30/09/2025 | 11:27 MYT
S. Balachandran, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman. - Gambar hiasan
SEPANG: Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyimpan dan mengeksport dua jenis hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) pada Jumaat lepas.

S. Balachandran, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, Balachandran didakwa menyimpan seekor ungka tangan hitam (agile gibbon) dan dua ekor cuscus, masing-masing hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama dan Jadual Kedua Akta 716 dengan cara menyebabkan penderitaan yang tidak patut.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 86(1)(c) Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Balachandran turut didakwa mengeksport ungka tangan hitam itu tanpa suatu permit khas, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 71 Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 bagi setiap hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, atau bahagian dan terbitan hidupan liar, tetapi denda itu tidak boleh melebihi RM1 juta pada agregatnya dan dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun.

Bagi kesalahan mengeksport cuscus tanpa lesen, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 65 Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 dan maksimum RM50,000 dan dipenjarakan tidak melebihi setahun.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Gate C26, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 10.10 malam, 26 Sept.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam Leon Dinesh T. Loganathan.

Danial mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kerana kesalahan itu serius melibatkan hidupan liar dan mengikut kesemua pertuduhan, ia wajib didenda, namun Leon Dinesh memohon jumlah jaminan RM6,000 atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain menyara keluarga termasuk ibu bapanya yang uzur.

Ahmad Fuad kemudian memutuskan tiada jaminan dibenarkan dan sebutan kes ditetapkan pada 31 Okt ini.

Baru-baru ini, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dengan kerjasama Perhilitan dan polis bantuan KLIA menggagalkan cubaan menyeludup tiga ekor hidupan liar bernilai RM20,000 ke Mumbai, India menggunakan sebuah penerbangan.

-- BERNAMA


#simpan hidupan liar #eksport hidupan liar #ungka #cuscus