KUALA LUMPUR: Malaysia bukan sahaja satu-satunya negara yang mengurangkan kebergantungan terhadap model ekonomi lama malah sudah banyak negara rantau mula beralih kepada ekonomi digital.

Perubahan landskap dalam ekonomi dunia ini mempengaruhi penyusunan semula kegiatan ekonomi dan pekerjaan di banyak negara khususnya yang mencapai ekonomi matang.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan baru-baru ini menyatakan bahawa terdapat peningkatan jumlah penyertaan dalam ekonomi gig khususnya selepas penularan pandemik COVID-19.

Ketika ini kira-kira empat juta individu menyertai ekonomi gig berbanding hanya sekitar setengah juta sebelum berlakunya pandemik.

Trend yang meningkat ini memberi peluang kepada golongan muda, suri rumah, pesara, golongan kurang upaya dan mereka sudah bekerja untuk turut sama menjalankan ekonomi gig bagi menambah pendapatan isi rumah.

Dalam pada itu, kerajaan turut dilapor akan memberi tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) 2021-2025.

Meskipun ekonomi gig memberi fleksibiliti dari pelbagai segi termasuk masa dan cara kerja, namun sektor ini perlu diberi faedah sama seperti model ekonomi tradisional termasuk perlindungan sosial

Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Prof Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor berpandangan, ekonomi gig di Malaysia tidak sepatutnya berdepan dengan regulasi yang ketat kerana ia memberi peluang pendapatan tambahan kepada rakyat selain menyediakan jaringan keselamatan.

“Jika kita lihat semula, ekonomi gig di Malaysia membantu rakyat untuk ‘kekal bertahan’ ketika krisis kewangan pada tahun 2008, di mana mereka membuka kedai dan memulakan perniagaan mikro. Justeru itu, saya lihat perlunya keseimbangan polisi yang tidak menyekatkan ‘kisah kejayaan’ daripada konsep ekonomi gig ini.

“Struktur realistik bagi ekonomi gig yang baik adalah dengan adanya sebuah polisi terhadap keperluan perlindungan sosial oleh kerajaan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain bantuan daripada Jawatankuasa Perlindungan Sosial Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, perlindungan tidak semestinya datang daripada kerajaan, namun rangka kerja diwujudkan kerajaan bagi melindungi individu terlibat dalam sektor tersebut.

"Kami mengusulkan agar setiap rakyat Malaysia menyumbang ke dalam sebuah dana yang akan dilaburkan. Ia seperti tabung insurans sosial, yang mana sesiapa sahaja boleh menyumbang dan dilihat seakan konsep tabung subsidi silang (cross subsidize). 

"Pelaksanaannya dicadangkan mandatori kepada rakyat Malaysia dan mengikut usia, bagaimanapun terdapat cabaran kerana mungkin ada yang mula bekerja seawal 15 atau 18 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam webinar Astro AWANI LINC dengan kerjasama The Centre - 'Are We Seeing A New Era of Work? The Meaning of ‘Gig Economy’ and Its Repercussions For Policy' di sini pada Rabu.

Perlindungan tidak semestinya datang daripada kerajaan tetapi kerajaan wujudkan rangka kerja bagi melindungi  individu terlibat dalam sektor tersebut. - Datuk Dr. Norma.

Meskipun terdapat perdebatan mengenai perlindungan pekerja dalam model ekonomi ini, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh memaklumkan, ada banyak manfaat kerana platform digital mempunyai lebih volum.

Jelas beliau, ekonomi gig memberi peluang kepada individu dalam memperoleh pendapatan yang produktif dan mampan. Ia turut menyediakan akses kepada keselamatan kewangan dan situasi pekerjaan yang baik.

"Seperti di Grab, kami memberi pelbagai manfaat seperti diskaun penyelenggaraan, insurans yang murah dan perkhidmatan kewangan yang memberi akses kepada produk kewangan yang sesuai, yang diluaskan kepada keluarga mereka.

"Perkara yang sering diperkatakan juga adalah tentang simpanan persaraan dan perlindungan sosial. Kami bekerjasama dengan EPF dan SOCSO bagi tujuan sumbangan insentif.

"Syarikat juga mempunyai polisi kumpulan bagi kemalangan individu. Setiap pekerjaan di Grab adalah dilindungi," katanya ketika mengulas berkaitan perlindungan sosial dalam sesi webinar sama.


Sementara itu, Pengarah Penyelidik The Centre, Nelleita Omar berkata, antara manfaat besar menerusi ekonomi gig ini adalah ia memberi fleksibiliti dan mengurangkan had atau halangan kepada mereka yang baru mula bekerja (entry level). Justeru, diharapkan agar kerajaan dapat memudahkan urusan mereka dengan menceburi ekonomi gig ini.

“Dari segi mengubal polisi pula, kerajaan perlu mempertimbangkan jenis-jenis kerja sambilan dalam ekonomi gig yang dilakukan oleh individu kerana setiap pekerja gig mempunyai tujuan dan struktur pendapatan berbeza.

“Bagi memastikan perlindungan sosial yang adil dalam ekonomi gig, kerajaan juga perlu mengambil kira bagaimana mewujudkan enrolmen dalam skim perlindungan sosial dan memudahkan skim KWSP kepada mereka atau mungkin terus dilaksanakan secara automatik kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya dalam webinar sama.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek umum peruntukan sebanyak RM75 juta bagi menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan.

Peruntukkan itu dibahagikan kepada dua iaitu geran RM50 juta bagi platform ekonomi gig dan RM25 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Meskipun Malaysia masih berada pada fasal awal dalam mengawal selia ekonomi gig, namun ia diyakini dapat membantu ramai rakyat untuk melakukan kerja sambilan yang lain bagi menambah pendapatan.

Ia sekali gus turut dapat membantu menyelesaikan isu pengangguran terselubung dan pengangguran geseran di Malaysia.