JOHOR BAHRU: Golongan belia di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Johor diseru agar merebut peluang perniagaan susulan ekonomi negeri itu dilihat semakin meningkat dan dijangka terus mengukuh pada masa akan datang.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini kerana semakin ramai warga asing, termasuk dari Singapura, memasuki Johor sebaik sahaja melihat potensi ekonomi di negeri ini.

"Harga hartanah di sana semakin meningkat... untuk memulakan perniagaan di Johor, secara purata 70 peratus lebih murah daripada berniaga di sana. Selain itu, sektor pelancongan negeri potensinya ada.

"Bukan sahaja warga republik itu tetapi Eropah, Australia dan Jepun juga mahukan alam semula jadi... FELDA ada banyak alam semula jadi. Kalau anda tidak ambil kesempatan dan lihat peluang perniagaan yang ada, saya risau orang luar akan masuk dan rebut peluang ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Johor Bahru dan Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan MBFM Negeri Johor hari ini.

Turut hadir Presiden MBFM Muhammad Fadzli Hasan, yang juga Pengerusi MBFM Negeri Johor.

Onn Hafiz juga berharap perjumpaan antara MBFM dengan beberapa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dapat diadakan bagi membolehkan perkongsian mengenai perancangan serta hala tuju negeri itu dapat dilaksana.

Beliau berkata antara yang dijangka terlibat ialah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"Mungkin boleh dibuat pada kadar segera dan ajak sekali MBNJ (Majlis Belia Negeri Johor) supaya anak muda di negeri ini tahu perkembangan terkini dan peluang yang boleh direbut. Jika kita gembleng tenaga, Johor akan jadi negeri maju pada 2030," katanya.

Pada majlis itu, Onn Hafiz menyerahkan sumbangan berjumlah RM360,000 kepada 72 persatuan di bawah MBFM Negeri Johor.

-- BERNAMA