Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Ekonomi MADANI jamin taraf hidup rakyat lebih bermaruah - Amir Hamzah

Khalis Khadir 14/08/2025 | 12:26 MYT
Amir Hamzah berkata, Malaysia melalui Ekonomi MADANI membayangkan sebuah negara yang tidak menyisihkan rakyat, perkhidmatan sosial sampai ke golongan terpinggir dan alam sekitar dipelihara untuk generasi akan datang. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Transformasi sosioekonomi negara kini bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi dan fiskal tetapi perlu memastikan adanya taraf hidup rakyat yang bermaruah.


Ringkasan AI
  • Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menegaskan komitmen membina negara berdaya tahan melalui Ekonomi MADANI berasaskan maruah, keadilan dan kemakmuran bersama.
  • Strategi fokus kepada peluang kerja adil, pendapatan lebih tinggi, perlindungan sosial dan perkhidmatan awam berkualiti.
  • Filantropi diiktiraf sebagai rakan strategik penting bagi memperluas impak sosial dan kesejahteraan rakyat.


Bagi merealisasikan perkara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan komited membina sebuah negara berdaya tahan melalui kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan maruah, keadilan serta kemakmuran bersama.

“Kerangka ini menunjukkan perubahan ke arah pembaharuan struktur seperti memperbaiki peluang dan hasil pasaran kerja, meningkatkan pendapatan isi rumah, mengukuhkan kestabilan kewangan negara serta menambah baik keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Hasanah 2025, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah menjelaskan, strategi itu bersifat menaikkan lantai dan siling ekonomi, memastikan semua rakyat mempunyai akses kepada gaji yang wajar, perlindungan sosial serta perkhidmatan awam berkualiti.

Jelasnya, ini sekali gus dapat mengangkat daya saing negara, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memacu inovasi.

Beliau menegaskan, Malaysia melalui Ekonomi MADANI membayangkan sebuah negara yang tidak menyisihkan rakyat, perkhidmatan sosial sampai ke golongan terpinggir dan alam sekitar dipelihara untuk generasi akan datang.

Pada Forum Hasanah, kerajaan turut mengiktiraf Yayasan Hasanah bersama empat lagi yayasan iaitu Yayasan Sime Darby, Yayasan Axiata, Yayasan Maybank dan Yayasan UEM sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperluas impak sosial negara.

Forum Hasanah 2025 yang memasuki edisi ketiga menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil komuniti bagi membincangkan strategi memperkukuh peranan filantropi dalam membina Malaysia yang lebih inklusif.

Amir Hamzah berkata, filantropi memainkan peranan penting dalam menangani jurang yang tidak dapat dicapai oleh pasaran dan mewujudkan pendekatan baharu bagi kesejahteraan sosial.

“Kita perlu memastikan filantropi bukan bersifat ekstraktif atau preskriptif tetapi responsif, berdasarkan apa yang masyarakat impikan serta apa yang mereka mampu bina,” katanya lagi.




#Amir Hamzah Azizan #ekonomi madani #Forum Hasanah 2025 #sosioekonomi