MALAYSIA

Ekonomi negara: Kerajaan ambil langkah perlu, tapi kegelisahan rakyat tidak diabaikan - PM

Firdaus Azil 20/07/2025 | 05:40 MYT
Anwar beramah mesra dengan penduduk yang hadir pada majlis Kenduri Rakyat sempena Program Ukhwah MADANI dan Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan MADANI di Kampung Pachitan, hari ini. - Bernama
PORT DICKSON: Kerajaan MADANI akan terus mengambil tindakan yang dirasakan perlu supaya ekonomi supaya menjadi lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mengambil tindakan yang perlu untuk memperbaiki ekonomi negara, sambil tetap mendengar kegelisahan rakyat di peringkat akar umbi walaupun indikator makroekonomi menunjukkan prestasi baik.
  • Beliau sedang berbincang dengan pegawai Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan kementerian berkaitan untuk membuat pengumuman besar minggu depan yang bertujuan meringankan keresahan rakyat dan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isu semasa.
  • Anwar menolak tanggapan bahawa kerajaan gabungan tidak bersatu, sebaliknya menyatakan kesyukuran atas semangat kesatuan yang ditunjukkan oleh pimpinan dan akar umbi parti dalam Kerajaan MADANI, walaupun terdiri daripada pelbagai ideologi.


Namun, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, itu tidak bermaksud kerajaan tidak mengambil kira kegelisahan rakyat di bawah.

Anwar berkata, beliau masih mengadakan perbincangan dengan pegawai Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, serta kementerian berkaitan pengumuman besar yang akan beliau lakukan minggu depan.

“Walaupun kita mengambil langkah yang perlu, tapi kita (tetap) turun dengar (keluhan) rakyat… dari segi makroekonomi. Pertumbuhan ekonomi baik, inflasi rendah, pengangguran rendah. Tetapi di peringkat bawah masih ada sedikit kegelisahan. Jadi Kerajaan MADANI prihatin kena dengar di bawah.

“Jadi bila kita dengar ada keresahan, kita cari jalan untuk ringankan (kegelisahan). Ini maksud bila kita santuni,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI di Kampung Pachitan, di.

Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Menteri Kabinet Kerajaan MADANI, selain Ahli Parlimen Kerajaan.

Dalam pada itu Perdana Menteri menolak tanggapan pihak luar kononnya kerajaan gabungan ini adalah kerajaan yang tidak bersatu kerana ideologi parti-parti yang berlainan.

Anwar berkata beliau bersyukur dengan semangat kesatuan yang ditunjukkan oleh pimpinan dan akar umbi parti kerajaan MADANI.

"Ini semangat antara kita, orang tafsir di luar lain, tapi bekerja saya sebagai diamanahkan sebagai Perdana Menteri.

"Saya bersyukur, Alhamdulilah walaupun kita gabungan parti, dengan pendirian masing-masing pun faham tetapi semangat untuk bangunkan negara sefahaman itu luar biasa," katanya lagi.


#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #ekonomi negara #keluhan rakyat