Skip to main content

Malaysia

Ekonomi Sabah berkembang 5.1 peratus, KDNK cecah RM88.8 bilion - Hajiji

Hajiji berkata, pertumbuhan itu diisokong oleh perkembangan pesat sektor pembinaan yang meningkat sebanyak 28.3 peratus, diikuti sektor pembuatan (5.0 peratus) dan sektor perkhidmatan (4.5 peratus). - Gambar fail
Hajiji berkata, pertumbuhan itu diisokong oleh perkembangan pesat sektor pembinaan yang meningkat sebanyak 28.3 peratus, diikuti sektor pembuatan (5.0 peratus) dan sektor perkhidmatan (4.5 peratus). - Gambar fail

Advertisement

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.1 peratus tahun lepas iaitu prestasi terbaik dalam tempoh enam tahun dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) mencecah RM88.8 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, pertumbuhan yang kukuh itu disokong oleh perkembangan pesat sektor pembinaan yang meningkat sebanyak 28.3 peratus, diikuti sektor pembuatan sebanyak 5.0 peratus dan sektor perkhidmatan sebanyak 4.5 peratus.

“Sabah berjaya merekodkan pertumbuhan yang kukuh dan tugas kita sekarang adalah untuk menterjemahkan momentum ini kepada perniagaan tempatan yang lebih berdaya saing, industri bernilai tinggi, peluang pekerjaan yang lebih baik dan lebih banyak peluang kepada masyarakat di seluruh negeri," katanya.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun pada majlis perasmian Program Kembara Borneo 2026 Edisi Sabah anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata fokus itu dilaksanakan menerusi kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi penekanan kepada peningkatan daya saing, produktiviti dan penciptaan nilai tinggi selepas kejayaan fasa pemulihan di bawah SMJ 1.0.

Beliau berkata prospek pelaburan negeri akan terus diperkukuh melalui had maksimum peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah Sabah iaitu sebanyak RM12.02 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang merangkumi 933 projek baharu dan 240 projek sambungan.

"Aspirasi kita bukan sekadar menarik perniagaan untuk melabur di Sabah, sebaliknya mahu membantu syarikat tempatan berkembang menjadi peneraju di peringkat nasional, serantau dan global menerusi pemupukan kreativiti, daya tahan serta keusahawanan generasi muda," katanya.

Mengenai potensi sumber asli, Hajiji berkata penerokaan sektor ekonomi biru berupaya menjana pendapatan tambahan sehingga RM3.25 bilion setahun di bawah SMJ 2.0 melalui perikanan moden, bioteknologi marin dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Bagi sektor pertanian pula, beliau menegaskan bahawa industri makanan perlu beralih ke arah amalan berteknologi tinggi dan pemprosesan hiliran bagi mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi di dalam negeri.

Hajiji berkata, kedudukan geografi Sabah di tengah-tengah kepulauan Borneo berhampiran Brunei, Indonesia dan Filipina turut meletakkan negeri ini sebagai pintu masuk strategik perdagangan, pelaburan dan pelancongan serantau BIMP-EAGA serta ASEAN.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik langkah SC memperluas akses pembiayaan pasaran modal alternatif kepada perniagaan tempatan menerusi platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF), pembiayaan antara rakan setara (P2P), modal swasta dan modal teroka.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan Skim Keterjaminan Makanan di bawah Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) yang menyediakan pelaburan bersama sebanyak RM1 bagi setiap RM2 dana pelabur swasta bagi membiayai sektor agroteknologi dan bioekonomi.

Oleh itu, Hajiji mengingatkan usahawan tempatan agar memperkemas rekod perakaunan dan memantapkan tadbir urus korporat serta pelan pengurusan risiko bagi meyakinkan pelabur sebelum mengumpul modal.

Beliau turut mempelawa pembiaya dan pengantara pasaran modal meneroka potensi pelaburan bernilai tinggi di Sabah merangkumi projek akuakultur, kilang pemprosesan hiliran, tapak pembuatan dan fasiliti pelancongan.

"Sabah mempunyai sumber, kedudukan strategik, usahawan dan aspirasi yang besar, jadi kita perlu memperkukuh hubungan antara perniagaan tempatan dengan modal serta kerjasama strategik yang diperlukan untuk terus berkembang," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement