Ekosistem mesra pelabur jadi fokus utama kementerian - Ewon

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick menegaskan komitmennya untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan Sabah agar lebih mesra pelabur, berdaya saing dan mampu melonjakkan standard produk tempatan ke tahap lebih tinggi. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick menegaskan komitmennya untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan Sabah agar lebih mesra pelabur, berdaya saing dan mampu melonjakkan standard produk tempatan ke tahap lebih tinggi.
Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata fokus itu menjadi antara teras utama yang dibentangkannya dalam taklimat hari pertama bersama Pembantu Menterinya Datuk Jonnybone J Kurum dan ketua-ketua agensi di bawah kementerian berkenaan hari ini.
Beliau berkata penekanan kementerian adalah untuk membina ekosistem keusahawanan yang benar-benar memenuhi keperluan usahawan kecil dan sederhana, termasuk koperasi dan peniaga kecil, selain memastikan mutu perkhidmatan berada pada tahap optimum.
"Harapan saya supaya kementerian ini dapat membentuk ekosistem keusahawanan yang mesra pelabur, ekosistem keusahawanan yang lebih baik dan diperlukan oleh usahawan-usahawan kecil dan sederhana termasuk koperasi, peniaga-peniaga kecil," katanya kepada pemberita selepas 'clock-in' di kementeriannya di sini hari ini.
Menurut beliau, peningkatan standard dan kualiti produk usahawan Sabah juga menjadi elemen utama selaras dengan agenda Sabah First yang mahu melihat produk tempatan menembusi pasaran lebih luas.
Mengulas lanjut, Ewon berkata tiga fokus berkenaan iaitu ekosistem mesra pelabur, peningkatan standard produk dan kualiti perkhidmatan, akan menjadi asas kepada usaha kementerian menjadikan rakyat Sabah lebih berbangga dengan mutu produk serta perkhidmatan tempatan.
"Ketiga-tiga ini merupakan agenda Sabah First yang saya akan perjuangkan di bawah kementerian ini supaya akhirnya rakyat Sabah boleh berbangga... ekosistem keusahawanan itu lebih baik dan juga mutu perkhidmatan warga kerja kementerian ini dan juga agensi-agensi yang diperlukan oleh rakyat," katanya.
Beliau turut menzahirkan kesediaannya menerajui kementerian itu untuk terus memacu peningkatan prestasi, selaras dengan harapan rakyat dan kepimpinan negeri.
Sementara itu Jonnybone bertekad menyokong pelaksanaan agenda kementerian dengan memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan serta mengenal pasti potensi ekonomi di kawasan luar bandar, khususnya di daerah Telupid.
Beliau berkata amanah yang diberikan kepadanya akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan dapat dilaksana secara inklusif di seluruh Sabah.
"Saya percaya beliau (Ewon) seorang yang berpengalaman dan beliau menggalas tanggungjawab untuk mengemudi kementerian ini. Dan sebagai pembantu menteri, saya sedia untuk membantu, untuk menyumbang kepada kemandirian atau pencapaian-pencapaian di peringkat kementerian," katanya.
Jonnybone berkata Telupid, yang masih tersenarai antara kawasan termiskin di Sabah, akan menjadi salah satu fokus utamanya untuk dimajukan melalui program serta inisiatif di bawah kementerian itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


