MALAYSIA
Eksekutif akaun rugi lebih RM100,000 terperdaya sindiket penipuan telefon
Mangsa diarahkan membuka akaun bank dan membuat 30 transaksi pemindahan wang antara 31 Januari hingga 17 Jun, sebelum menyedari ditipu apabila gagal menghubungi semula pihak terlibat. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang eksekutif akaun kerugian RM139,565 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan telefon menyamar sebagai pegawai polis, awal tahun ini.
Ringkasan AI
- Seorang eksekutif akaun wanita berusia 40 tahun kerugian RM139,565 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai wakil insurans dan pegawai polis.
- Mangsa diarahkan membuka akaun bank dan membuat 30 transaksi pemindahan wang antara 31 Januari hingga 17 Jun, sebelum menyedari ditipu apabila gagal menghubungi semula pihak terlibat.
- Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan tidak dikenali serta sentiasa semak kesahihan maklumat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata wanita berusia 40 tahun itu, menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali pada Januari, memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat insurans.
"Individu itu mendakwa mangsa terlibat kes tuntutan insurans palsu dan panggilan disambungkan kepada kononnya pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
"Mangsa diberitahu waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya berkait 21 laporan berhubung skim pelaburan tidak wujud.
"Wanita itu diarahkan membuka akaun bank kononnya bagi tujuan siasatan dan memasukkan wang ke situ untuk menyelesaikan kes," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Aidil berkata mangsa menyerahkan butiran kad bank dan membuat 30 transaksi pemindahan wang dari 31 Jan hingga 17 Jun, sebelum sedar ditipu kerana gagal menghubungi semua nombor pernah berurusan dengannya.
Wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar semalam, dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA