Eksekutif GLC disyaki salah guna kedudukan direman empat hari

Bernama
Oktober 26, 2021 09:01 MYT
Tiga individu termasuk seorang eksekutif syarikat milik kerajaan (GLC) dan dua pemilik syarikat swasta dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap tiga individu termasuk seorang eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu siasatan berkenaan kes menyalahgunakan kedudukan dalam urusan projek di syarikat GLC itu.
Perintah reman ketiga-tiga individu termasuk seorang wanita berusia antara 40 dan 57 tahun sehingga 29 Okt itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali, selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain lelaki yang bertugas sebagai eksekutif GLC, dua lagi yang direman adalah pemilik syarikat swasta disyaki terlibat dalam projek berkenaan.
Menurut sumber, eksekutif syarikat GLC terbabit telah menggunakan kedudukannya sebagai ketua projek untuk mengesyorkan dan melantik proksinya sebagai pengurus projek di syarikat swasta itu bagi menguruskan projek berkenaan bagi pihaknya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
-- BERNAMA
#GLC #ditahan reman #salah guna kuasa #SPRM