SUNGAI PETANI: Seorang lelaki bernasib malang apabila terpedaya dengan taktik seorang wanita yang menggunakan umpan melakukan aksi tidak senonoh ketika membuat panggilan video dengan menggunakan aplikasi WhatsApp sebelum diugut.

Mangsa berusia 51 tahun itu yang juga eksekutif sebuah syarikat diugut supaya memberikan sejumlah wang sekiranya tidak mahu rakaman video aksi jijiknya disebarkan untuk tontonan ramai.

Lelaki berkenaan yang pada awalnya bimbang selepas menerima ugutan itu telah memasukkan wang berjumlah RM350 seperti diminta namun membuat laporan polis selepas dia diugut buat kali kedua untuk menyerahkan wang dalam jumlah sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi pada Isnin selepas mangsa menerima panggilan video menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita yang tidak dikenali.

"Mangsa ketika itu berada di lokasi tempat kerjanya di Sungai Lalang dan terkejut apabila melihat aksi tidak senonoh daripada seorang pemanggil wanita yang sedang beronani.

"Wanita berkenaan kemudian meminta lelaki itu melakukan perkara sama dalam panggilan video dilakukannya.

Menurut Zaidy, mangsa yang terpedaya dengan pujuk rayu hanya mengikut arahan yang diberikan.

"Bagaimanapun, mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor sama selepas beberapa minit talian dimatikan namun pemanggilnya adalah seorang lelaki.

"Lelaki terbabit mendakwa dia mempunyai rakaman aksi mangsa 'beronani' ketika membuat panggilan video sebelum itu selian mengugut mahu menyebarkannya sekiranya mangsa tidak memberikan wang seperti diminta.

"Eksekutif syarikat berkenaan yang bimbang dengan ugutan itu hanya mengikut arahan diberikan.

"Bagaimanapun, suspek sekali lagi menghubungi mangsa tidak lama kemudian dan meminta dia sekali lagi memasukkan wang dalam jumlah sama kepadanya.

"Mangsa yang tidak berpuas hati dengan ugutan itu membuat satu laporan polis jam 12.30 tengah hari, semalam (Isnin)," jelas beliau.

Menurutnya, susulan laporan berkenaan, polis sedang mengesan dua suspek yang dipercayai terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (KK).