[EKSKLUSIF] Kes bunuh Siti Kharina: Suspek warga Nigeria tinggal di Malaysia lebih masa - Polis

Afiezy Azaman
Mei 18, 2019 08:00 MYT
Aliwajuwon Gilbertalowonle disahkan tinggal di negara ini lebih daripada tempoh yang dibenarkan. -Gambar fail
Suspek warga Nigeria Aliwajuwon Gilbertalowonle, 30, tinggal di negara ini lebih daripada tempoh yang dibenarkan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.
“Suspek utama yang ditangkap pada petang Khamis itu memang dah ‘overstay’.
“Manakala suspek wanita Nigeria dan lelaki Pakistan itu pula pihak kami masih sedang membuat semakan dengan pihak imigresen untuk mendapatkan dokumen dan maklumat mereka,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.
Kesemua tiga suspek itu ditangkap pada Khamis bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang Siti Kharina Mohd Kamarudin.
Terdahulu, Fadzil memaklumkan kepada Astro AWANI suspek utama warga Nigeria itu turut mempunyai akses ke rumah sewa mangsa di sebuah unit Kondominium Third Avenue di Cyberjaya.
BACA: Suspek utama warga Nigeria mempunyai akses rumah sewa Siti Kharina - Polis
Ketika ini Jabatan Siasatan Jenayah Selangor sedang mengkaji motif pembunuhan serta hubungan di antara ketika-tiga suspek dan juga mangsa.
Dalam perkembangan sama, Fadzil turut menyatakan punca kematian mangsa adalah akibat daripada kelaran/hirisan di bahagian leher dengan benda tajam.
BACA: Kematian Siti Kharina akibat luka hirisan di leher
Pada Ahad lepas, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini, kali terakhir dilihat di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lepas.
Bagaimanapun, pada Khamis polis mengesahkan Siti Kharina ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.
Mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan pada Rabu, selepas melihat kesan darah mengalir keluar dari bawah pintu bilik di rumah itu.
#Aliwajuwon Gilbertalowonle #Fadzil Ahmat #Siti Kharina #suspek utama warga Nigeria