KUALA LUMPUR: Kematian tahunan ibu hamil meningkat kepada 41 peratus pada tahun lepas akibat jangkitan COVID-19.

Kebiasaannya setiap tahun kematian ibu hamil sebanyak 200 hingga 270 kes, namun ia telah meningkat kepada 462 kes pada tahun lepas.

Menurut Timbalan Ketua Perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi (O&G) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Wan Ahmad Hazim Wan Ghazali, daripada 462 kes kematian ibu hamil, 83 peratus daripada mempunyai komorbiditi, manakala 79 peratus tidak mengambil vaksinasi.

"Sebenarnya mereka inilah yang memerlukan dos penggalak kerana berisiko tinggi dan kerana apabila wanita itu hamil ia telah membuatkan perubahan fisiologi kepada diri mereka, yang akan meningkatkan kemudaratan serangan COVID-19, apatah lagi jika mereka ini mempunyai komorbiditi.

"Jadi jika kita lihat daripada kematian ibu yang berlaku tahun lepas dan kita lakukan kajian, peningkatannya adalah 41 peratus akibat COVID-19. Biasanya kita mendapat kematian ibu dalam 200 hingga 270  kes setiap tahun tetapi telah meningkat sampai 462 kes pada tahun lalu dimana 191 adaah di sebabkan oleh COVID-19. Ini adalah 41 jumlah daripada seluruh jumlah kematian ibu.

"daripada kajian KKM lebih 83 peratus disebabkan oleh mereka mempunyai komorbiditi, sama ada mereka ada obesiti, kencing manis,darah  tinggi dan penyakit-penyakit lain. Justeru sangat penting untuk mereka ini mendapat dos penggalak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Astro AWANI dalam Program AWANI Pagi bertajuk "Ibu hamil dan dos penggalak", pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Wan Ahmad Hazim yang juga Pakar Perunding Kanan, Ketua Jabatan O&G Hospital Putrajaya berkata, dos penggalak vaksin COVID-19 adalah selamat untuk ibu mengandung dan tiada kesan kepada kandungan.

"Vaksin bukan sahaja memberikan perlindungan kepada ibu tetapi ia juga memberi perlindungan kepada bayi dan memberi imuniti pasif kepada bayi antara tiga hingga enam bulan.

"Jika kita lihat kajian di luar negara melibatkan 135,000 ibu hamil menunjukkan tidak ada peningkatan dalam keguguran, kelahiran pra matang, kematian atau kecacatan.

"Malah jika kita lihat apa yang kita alami sejak pemberian vaksin dos kedua selesai diberikan pada bulan Oktober lepas merangkumi 94 peratus populasi negara, kita lihat kelahiran-kelahiran yang berlaku di fasiliti kesihatan kerajaan tidak menunjukkan peningkatan daripada semua isu tersebut," jelasnya.

Dr Wan Ahmad Hazim turut menyeru rakyat Malaysia agar mempercayai sepenuhnya kepada data dan maklumat dikeluarkan oleh KKM berkaitan vaksin COVID-19.

"Rakyat harus ingat bahawa KKM memastikan kesihatan rakyat terjaga dan harus memberikan kepercayaan yang penuh kepada kita untuk memastikan kesihatan ini sentiasa dipantau dan memberikan informasi yang benar dan telus kepada masyarakat," tambah beliau.