KUALA LUMPUR: Penduduk Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terkejut dan tidak menjangkakan serangan dilancarkan Iran terhadap negara-negara Teluk, sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) sehari sebelumnya.
Bagi rakyat Malaysia, Syakirah Anas, yang menetap di Doha bersama suami dan anak perempuannya, serangan terbabit dirasakan terlalu hampir sehinggakan menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak tenteram.
Advertisement
Syakirah yang berusia lingkungan 50-an berkata peluru berpandu berkenaan kelihatan melintasi ruang udara di kawasan penempatan penduduk.
“Sasarannya ialah Pangkalan Udara Al Udeid (terletak kira-kira satu jam memandu dari kediaman kami), namun misil itu melintasi terus di atas kami. Sebahagian daripadanya dipintas tepat di atas kami manakala sejumlah serpihan jatuh ke kawasan kediaman kami pagi ini,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp.
Setakat ini, Syakirah berkata beliau dan keluarganya berada dalam keadaan selamat dan mereka berlindung di ruang tamu sambil mengikuti perkembangan terkini melalui televisyen dan Internet.
Syakirah berkata beliau kekal agak tenang walaupun berlaku serangan itu dan memaklumkan ia kali ketiga beliau menyaksikan serangan di Doha. Pada Jun 2025, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke Pangkalan Udara Al Udeid, iaitu pangkalan ketenteraan yang menempatkan pasukan AS di Qatar.
Menurut Syakirah, beliau tidak menjangkakan situasi menjadi lebih buruk dan bimbang mengenai rakan dan ahli keluarganya di Qatar dan UAE terutama sepupunya yang baru sahaja memulakan kerja di Abu Dhabi, UAE, satu daripada lokasi yang disasarkan dalam serangan itu.
“Situasi agak tegang di sana (Abu Dhabi) kerana sangat dekat dengan pangkalan udara AS,” katanya sambil menambah sepupunya itu telah menghubunginya.
Bernama cuba menghubungi sepupu Syakirah namun tidak menerima maklum balas setakat berita ini disiarkan.
Penduduk di UAE memaklumkan kepada Bernama mereka terkejut melihat peluru berpandu dipintas.
Pengasas dan Ketua Pengarang The Gulf Pulse Asma Zain, dari Pakistan yang menetap dan bekerja di UAE berkata beliau sentiasa menganggap UAE sebagai tempat yang selamat.
“Situasinya sangat membimbangkan. Sebelum ini tidak pernah berlaku seperti ini. Orang ramai berada dalam keadaan panik,” katanya yang dihubungi menerusi WhatsApp.
Asma berkata walaupun beliau tinggal di Sharjah, beliau masih dapat melihat dan mendengar kejadian yang sedang berlaku di Dubai.
“Ada bunyi letupan yang kuat, dipercayai daripada peluru berpandu yang dipintas pada waktu malam. Pagi ini saya nampak awan hitam, tepat di hadapan bangunan saya,” katanya.
Menurut Asma, kumpulan sembang komuniti dibanjiri nasihat mengenai persiapan kecemasan termasuk tip menenangkan kanak-kanak, menyediakan bekalan perubatan asas, mengecas peranti elektronik serta mengemas barangan penting sekiranya memerlukan pengungsian.
Beliau berkata meskipun pihak berkuasa sentiasa menyalurkan maklumat terkini berkaitan situasi semasa, mereka tidak menyediakan panduan keselamatan yang berguna atau mudah dipraktikkan.
“Satu-satunya nasihat yang diberikan ialah mencari tempat perlindungan yang terdekat dan paling selamat, namun tidak menyatakan lokasi sebenar tempat perlindungan itu,” kata Asma sambil berharap keadaan akan segera pulih.
Ketegangan di Timur Tengah memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, sebelum Iran melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah.
-- BERNAMA