IPOH: Ekspo Jom Makan Ipoh akan dicadang untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan Ipoh, susulan sambutan menggalakkan pada kali pertama pengajurannya tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang Nga Kor Ming berkata ekspo anjuran Pusat Khidmat DUN Kepayang serta beberapa rakan strategik itu, akan dijadikan satu daripada jenama istimewa pelancongan Ipoh yang menarik pengunjung tempatan dan luar negara.
“… kita memang telah lihat kejayaan tiga hari ini, cukup ramai yang datang, kita sasarkan kali ini sekurang-kurangnya 20,000 orang bersempena dengan cuti hujung minggu ini, kita juga jadikan ekspo ini sebagai satu simbol perpaduan kaum melalui makanan, selain sukan,” katanya.
Nga berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Jom Makan Ipoh di sini, malam tadi.
Pada majlis sama Nga turut melancarkan Enam Peta Makanan Ipoh berasaskan kod QR, bagi membolehkan pelancong mendapatkan maklumat mengenai lokasi makanan dan restoran di sekitar bandar raya itu.
Ekspo Jom Makan Ipoh yang berlangsung 28 Ogos (Jumaat) hingga 30 Ogos (hari ini, Ahad) dari 5 petang hingga 11 malam, bertempat di Palo 101 menawarkan lebih daripada 50 gerai makanan dan produk pertanian dengan 12 sajian istimewa Ipoh, pilihan makanan jalanan, serta pelbagai produk makanan dan hasil pertanian terpilih.
Pengunjung berpeluang menikmati sendiri gabungan hidangan tradisional dan inovatif yang mencerminkan identiti gastronomi bandar raya Ipoh, antaranya Laksa Buyong, Ipoh White Coffee, nasi ayam taugeh dan puding taufu, kacang putih dan sebagainya.
-- BERNAMA