Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

Ekuinas buka permohonan ILTIZAM Catalyst 2026, terus perkasa PKS Bumiputera

Nabilah Khaleeda 16/10/2025 | 07:46 MYT
Hizwani Hassan (belakang, lima dari kiri) bergambar bersama usahawan PKS yang menyertai program ILTIZAM Catalyst.
KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, ILTIZAM, membuka permohonan bagi program ILTIZAM Catalyst 2026 bermula 16 Oktober hingga 15 Disember 2025.


Ringkasan AI
  • Ekuinas membuka permohonan ILTIZAM Catalyst 2026 untuk PKS Bumiputera dari 16 Okt hingga 15 Dis, fokus kepada latihan dalam kewangan, pemasaran digital, teknologi dan kepimpinan.
  • Program ini direka untuk bantu PKS tangani cabaran sebenar perniagaan dan telah memberi impak kepada lebih 57 syarikat sejak 2022 melalui bimbingan praktikal dan sokongan pakar.
  • PKS Bumiputera yang layak ialah yang berdaftar dengan SSM, berpendapatan tahunan RM300,000-RM1 juta dan mempunyai rekod keuntungan dua tahun berturut-turut.


Program ini bertujuan memperkasa dan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera melalui latihan berstruktur dalam empat bidang utama iaitu kewangan dan pematuhan, penjenamaan dan pemasaran digital, adaptasi teknologi, serta kepimpinan.

Sejak diperkenalkan pada 2022, ILTIZAM Catalyst telah membimbing lebih 57 PKS Bumiputera menambah baik strategi perniagaan mereka melalui pendekatan praktikal dan bimbingan pakar.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan, berkata program itu dibangunkan bagi menangani cabaran sebenar yang dihadapi usahawan Bumiputera.

“Melalui ILTIZAM Catalyst, kami mahu membantu PKS Bumiputera bukan sahaja bertahan tetapi berkembang dengan strategi yang lebih kukuh dan mampan.

"Empat teras program ini memberi tumpuan kepada aspek yang sering menjadi kelemahan utama dalam pengurusan dan pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Antara alumni yang mendapat manfaat daripada program ini ialah Wan Nadia Farhana, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kiddie Care Therapy Centre, sebuah pusat terapi kanak-kanak berkeperluan khas.

“Bila masuk program Catalyst ni, banyak perkara asas perniagaan yang saya belajar semula. Ia bantu kami jelas dengan hala tuju perniagaan, rancang pertumbuhan dan bentuk pasukan yang lebih berkualiti.

"ILTIZAM Catalyst ini sangat praktikal. Kita buat permohonan dan terus nampak kesannya,” tambah beliau.

Menurut Hizwani, program ini bukan sekadar latihan perniagaan biasa tetapi direka untuk memberi impak sebenar kepada PKS Bumiputera.

"Kami mahu peserta bukan sahaja faham strategi perniagaan, tetapi mampu melaksanakannya secara praktikal.

"Dengan sokongan konsultan dan jurulatih, mereka dibimbing untuk merancang, melaksana dan menilai hala tuju syarikat secara lebih berkesan,” jelasnya.

Kedua-dua Hizwani dan Wan Nadia berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Khamis.

Sementara itu, PKS Bumiputera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mempunyai pendapatan tahunan antara RM300,000 hingga RM1 juta serta rekod keuntungan dua tahun berturut-turut layak memohon.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan, layari https://iltizam-catalyst.ekuinas.com.my.




#Ekuinas #ILTIZAM Catalyst #PKS #Hizwani Hassan