SHAH ALAM: Fenomena El Nino berintensiti kuat dijangka kembali melanda dunia termasuk Malaysia, sekitar pertengahan tahun ini dengan kebarangkalian melebihi 70 peratus dan meningkat sehingga 80 hingga 90 peratus menjelang penghujung 2026.
Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Fredolin Tajudin Tangang berkata, berdasarkan ramalan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat, fenomena itu dijangka bermula sekitar Julai hingga Ogos.
Advertisement
Menurutnya, ia berkembang sehingga penghujung tahun dan awal 2027 sebelum beransur lemah pada Mac hingga April dan berakhir sekitar Mei tahun depan.
Fredolin berkata, ketika ini Malaysia berada di penghujung musim Monsun Timur Laut yang lazimnya berakhir pada hujung Mac sebelum memasuki fasa peralihan monsun pada April dan Mei.
“Fasa peralihan monsun ini biasanya membawa keadaan cuaca yang didominasi sistem perolakan tempatan yang menyebabkan ribut petir dan hujan lebat dalam tempoh singkat serta berpotensi mencetuskan banjir kilat, khususnya di pantai barat Semenanjung Malaysia.
“Dalam tempoh ini juga, keadaan cuaca negara dipengaruhi oleh fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) yang boleh menyebabkan cuaca panas apabila perolakan terhalang, sekali gus mengurangkan pembentukan awan dan hujan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Fredolin, keadaan panas yang berlaku ketika ini terutama di utara Semenanjung Malaysia adalah disebabkan dominasi tekanan atmosfera tinggi susulan fasa perolakan terhalang MJO di rantau Asia Tenggara.
“Situasi ini meningkatkan pancaran matahari ke permukaan bumi dan mengurangkan proses penyejukan melalui penyejatan, sekali gus berpotensi mencetuskan gelombang haba.
"Namun keadaan ini biasanya bersifat sementara dan berubah dalam tempoh satu hingga dua minggu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata dunia kini berada di fasa terakhir fenomena La Nina yang bermula sejak pertengahan 2025 sebelum beralih kepada keadaan neutral dalam sistem ayunan El Nino–Southern Oscillation (ENSO).
Jelasnya, ENSO merupakan ayunan semula jadi hasil interaksi atmosfera dan lautan di Lautan Pasifik yang berlaku secara kitaran antara El Nino, La Nina dan neutral setiap dua hingga lima tahun.
“Fenomena El Nino berupaya meningkatkan suhu global seperti yang berlaku pada 2024 apabila suhu dunia mencecah 1.55 darjah Celsius berbanding paras pra-perindustrian, sekali gus menjadikannya tahun terpanas.
“Walaupun suhu global menurun sedikit pada 2025 akibat pengaruh La Niña, ia masih merupakan tahun ketiga paling panas berikutan kesan pemanasan global yang berterusan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kebarangkalian 2026 menjadi tahun terpanas baharu adalah tinggi sekiranya El Nino kembali dengan intensiti kuat. - Sinar Harian