Skip to main content

Malaysia

El Nino, keadaan kering, jerebu dijangka berterusan secara berperingkat sehingga Mei tahun depan - Pakar

KUCHING, 1 Sept - Pemandangan matahari yang suram akibat jerebu dirakam berhampiran arca tembaga buaya di Tebingan Sungai Kuching, hari ini. Enam kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tahap berbahaya setakat 8 pagi ini iaitu Serian (408), Kuching (407), Samarahan (372), Sri Aman (361), Sarikei (333) dan Sibu (309). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  Photographed By: RUSHDAN MANAN
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) melaporkan, Kalimantan merekodkan peningkatan ketara titik panas sepanjang Ogos, dengan 9,849 titik panas dikesan berbanding 1,339 pada Julai. - foto/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas dan kering akan terus meningkatkan risiko kebakaran serta jerebu yang dijangka berlanjutan sehingga Mei tahun depan.  

Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Fredolin Tangang berkata kebakaran dan jerebu tersebut akan berlaku secara berperingkat di Indonesia sebelum bergerak ke Utara Sarawak dan Sabah.  

"Pada September, Oktober dan November, Kalimantan dan Sumatera masih berada dalam keadaan kering yang sama dan boleh menyediakan keadaan yang memburukkan kebakaran.  

“Apabila kita masuk ke Disember, Januari dan Februari, kawasan Utara Sarawak dan Sabah akan berdepan dengan situasi yang dihadapi Kalimantan dan Sumatera pada bulan sebelumnya. Ketika ini, Sumatera dan Kalimantan akan dibasahi hujan.  

“Jerebu tidak lagi berpunca dari kawasan tersebut. Tetapi kita akan berdepan jerebu yang dihasilkan di Utara Sarawak; Miri, dan Sabah; Binsuluk. El Nino bermula pada Jun dan hanya akan berakhir pada April atau Mei tahun depan,” kata pakar klimatologi dan perubahan Iklim itu.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Dalam temu bual sama, Timbalan Ketua (Penyelidikan) dan Pengarah UN SDSN-Asia Sunway University, Prof. Emeritus Datuk Chm. Dr. Mazlin Mokhtar pula menegaskan, kebakaran di Kalimantan, Indonesia yang menyebabkan jerebu ketika ini bukan kesan langsung daripada El Nino. Sebaliknya, keadaan kering berikutan cuaca panas ini telah menyebabkan kebakaran lebih mudah merebak dan marak.

“El Nino menyebabkan pemanasan yang melampau daripada biasa, tanah gambut lebih kering dan apabila ia kering, maka lebih senang untuk terbakar. Proses kebakaran itu berpunca daripada perbuatan manusia,” jelasnya.

Tambah Mazlin, kebakaran boleh berpunca daripada aktiviti membersih hutan bagi tujuan pertanian, pembukaan ladang, bina jalan, bina kediaman dan bina infrastruktur.

Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) melaporkan, Kalimantan merekodkan peningkatan ketara titik panas sepanjang Ogos, dengan 9,849 titik panas dikesan berbanding 1,339 pada Julai.  

ASMC turut melaporkan asap sederhana hingga tebal daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat bergerak ke arah utara, sekali gus menyumbang kepada jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di Malaysia dan negara jiran.

Setakat 9 malam Khamis, IPD Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Berbahaya pada bacaan 408. Manakala tiga kawasan lain mencatatkan bacaan Sangat Tidak Sihat iaitu Kuching (275), Sri Aman (269), dan Samarahan (263).  

Selain itu, 13 kawasan lain mencatatkan IPU Tidak Sihat di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Selebihnya, 46 kawasan lain mencatatkan bacaan IPU sederhana. 

Must Watch Video

Advertisement