MALAYSIA
Elak hasutan, kukuhkan perpaduan demi masa depan negara - PM Anwar

Anwar berkata, kemajuan dan pembangunan mampan tidak dapat dicapai jika rakyat terus dipecah-belahkan dengan sentimen perkauman. - Gambar/ FB Anwar Ibrahim
BATU KAWAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menolak sebarang bentuk hasutan perkauman dan kebencian yang boleh menggugat keharmonian, sebaliknya terus memperkukuh semangat perpaduan demi kemajuan negara.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia menolak hasutan perkauman dan kebencian, sebaliknya memperkukuh perpaduan sebagai asas kemajuan dan kestabilan negara.
- Beliau menegaskan bahawa isu negara harus ditangani secara rasional dan melalui saluran sah seperti Parlimen, bukan dengan desakan emosi atau hasutan; kestabilan politik Malaysia turut menarik perhatian dunia dalam rundingan diplomatik.
- Sebagai sokongan kepada usaha perpaduan, kerajaan menambah peruntukan RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara untuk mempergiat program kenegaraan melibatkan generasi muda di seluruh negara.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy.
Tangani Isu Secara Bijak, Bukan Melalui Hasutan
Menurut Anwar, semua pihak harus berfikiran rasional dan menyelesaikan isu melalui perbincangan menyeluruh, bukan dengan cara menghasut, menimbulkan kebencian atau mendesak beliau berundur secara emosi.
“Kalau nak tukar kerajaan, boleh bawa usul di Parlimen - Perdana Menteri hilang sokongan, maka letak jawatan. Tapi bila tak ada sokongan, nak tunggu pilihan raya, tak sabar pula.
"Meroboh negara itu mudah, tetapi membina memerlukan masa dan komitmen,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa kestabilan politik dan perpaduan rakyat Malaysia telah menarik perhatian dunia, khususnya dalam konteks diplomatik dan rundingan antarabangsa.
Beliau merujuk kepada kejayaan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang menyaksikan pertemuan penting antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan Menteri Luar China, Wang Yi.
“Mereka memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pertemuan penting ini. Buat pertama kalinya juga, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov bertemu Rubio dalam rundingan tertutup,” katanya.
Sehubungan itu, sebagai tanda sokongan kepada usaha memperkukuh perpaduan nasional, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan penambahan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara.
Katanya, peruntukan itu akan digunakan untuk mempergiat program-program kenegaraan melibatkan generasi muda di seluruh negara.
Terdahulu, Aaron dalam ucapannya memohon pertimbangan Perdana Menteri bagi meluluskan peruntukan khas tersebut, bagi memastikan program-program kenegaraan dan perpaduan dapat terus digerakkan secara menyeluruh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami