MALAYSIA

Elak jadikan agama alat perbalahan dalam masyarakat - Aaron

Bernama 30/01/2026 | 02:15 MYT
Menurut Aaron Ago Dagang, kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia seharusnya menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat selain menyemai kasih sayang, nilai murni serta sikap saling menghormati antara satu sama lain. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia diseru tidak menjadikan agama sebagai alat untuk mencetuskan perbalahan atau pertikaian, khususnya di media sosial serta bersatu menolak kebencian, provokasi, stereotaip dan prejudis demi mengekalkan keharmonian negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia seharusnya menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat selain menyemai kasih sayang, nilai murni serta sikap saling menghormati antara satu sama lain.

"Kepelbagaian agama, bangsa dan budaya di negara ini anugerah yang tidak ternilai. Ia memperkaya identiti nasional kita serta menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang kukuh, harmoni dan sejahtera.

"Semoga semangat perpaduan terus mekar dalam sanubari kita semua demi Malaysia yang aman, makmur dan bersatu," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini sempena sambutan Thaipusam yang akan disambut Ahad ini.

Aaron berkata, keharmonian dan persefahaman antara agama merupakan asas kepada kemakmuran serta kestabilan sesebuah negara.

"Dalam kepelbagaian inilah terletak kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu, saling menghormati dan hidup dalam semangat muhibah," katanya.

Menerusi hantaran itu, Aaron mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada seluruh penganut Hindu dan berharap perayaan itu membawa keberkatan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

-- BERNAMA


#Thaipusam #agama #alat perbalahan #Aaron Ago Dagang