KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial diingatkan agar tidak mengeksploitasi isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), khususnya ritual keagamaan sebagai bahan kandungan demi memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Timbalan Menteri Perpaduan R. Yuneswaran berkata pempengaruh yang mempunyai ramai pengikut perlu lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan serta menyebarkan nilai positif kepada masyarakat, bukannya memainkan sentimen 3R.
“Kalau boleh, jauhkan perkara-perkara yang melibatkan 3R. Ini kerana pempengaruh mungkin tidak tahu tentang ritual agama atau adat kaum tertentu, lebih-lebih lagi kalau anda bukan penganut agama berkenaan.
“Kita mempunyai banyak perkara positif yang boleh dipromosikan bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN),” katanya ketika hadir pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular membabitkan seorang pempengaruh yang dipercayai terlibat dalam upacara keagamaan semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.
Yuneswaran berkata kementerian memandang serius isu membabitkan ritual keagamaan itu dan berharap ia ditangani secara berhemah, selain menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa agama serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut menggesa masyarakat agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman atau mempolitikkan isu berkenaan, sebaliknya berikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menyelesaikannya segera.
Selain itu, beliau mempelawa pempengaruh media sosial untuk bekerjasama dengan KPN dalam mempromosikan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Program Negara Bangsa.
“Di bawah KPN, kami menyarankan supaya perkara-perkara ini (3R) dielakkan. Walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum, kita boleh menghadiri pelbagai upacara, majlis dan sambutan namun, apabila melibatkan ritual, saya berharap perkara itu dihormati,” katanya.
Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung hantaran tular membabitkan seorang individu dipercayai beragama Islam yang didakwa menyertai ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak.
-- BERNAMA