KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewajibkan kehadiran kanak-kanak ke sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini sebagai salah satu langkah mengelak perkahwinan bawah umur.

Pada masa sama, Pesuruhjaya Kanak-kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal berpendapat, ia bagi mengelak kanak-kanak daripada terus keciciran dan terjebak dengan perkahwinan kanak-kanak. 

Langkah itu juga boleh dilaksanakan melalui bantuan-bantuan geran yang disediakan khusus untuk golongan B40.

"Kalau dilihat memang sudah ada pelan untuk mengatasi masalah kemiskinan ini iaitu isu menyediakan skim geran... sebab kita dalam keadaan COVID ini memang ada bantuan-bantuan yang kerajaan berikan.

"Namun, dicadangkan juga ada geran disediakan untuk anak-anak yang dalam kumpulan B40 dan kita nak juga dapatkan daripada Kementerian Pelajaran supaya menjadikan (kehadiran ke) sekolah menengah itu wajib.

"Jadi kalau sekolah rendah wajib, sekolah menengah wajib, maka mereka ini perlu ke sekolah, mendapat pendidikan dan  tidak perlu berada di luar sekolah yang akhirnya terlibat dengan perkahwinan kanak-kanak," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa. 

Tambahnya, isu kemiskinan adalah sebab utama yang menyumbang kepada berlakunya perkahwinan kanak-kanak. 

"Apabila kehidupan itu sukar, ada kanak-kanak yang berhenti sekolah. (Contohnya, mempunyai) adik yang ramai tak sekolah (maka hendak) beri peluang kepada adik-adik. Kemudian berasakan dia beban kepada keluarga. Itu juga antara sebab tidak cukup wang, (maka) anak perempuan dikahwinkan. Daripada dulu sampai sekarang berlaku perkara ini. 

"Namun kita tidaklah seteruk sesetengah negara di mana anak-anak dikahwinkan sebab nak bayar hutang, dikahwinkan sebab-sebab tertentu. Ada adat budaya negara lain yang tiada dalam negara kita.

"Di negara kita ini, pada awal lagi (terdapat) persepsinya bahawa kanak-kanak perempuan tidak perlu pendidikan tinggi dan keluarga miskin menyebabkan anak usia muda dikahwinkan untuk lepaskan tanggungjawab ibu bapa," katanya lagi. 

Dalam pada itu Prof. Noor Aziah berpendapat silibus kesihatan reproduktif  tidak menampakkan kesan kepada kanak-kanak di sekolah.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyediakan guru yang terlatih bagi memberi pembelajaran kepada murid-murid sekolah mengenai silibus yang sebelum ini dikenali sebagai pendidikan seks itu.

"Yang menjadi kebimbangan dan rasa duka cita kami ialah apabila kita bercakap dengan KPM misalnya, dia kata silibus itu sudah ada. Namun apabila kita membuat konsultasi, dan berbincang dengan kanak-kanak, mereka tidak nampak di manakah silibus itu diterapkan kepada anak-anak ini.

"Jadi bagi kita adalah sangat penting satu silibus khas yang diajar oleh guru yang terlatih. Kita tak boleh ada silibus sahaja, tetapi tidak ada orang yang terlatih untuk memberi pelajaran mengenai kesihatan reproduktif ini," ujarnya. 

Jelas beliau, kesihatan reproduktif lebih kepada menjaga diri, kesihatan dan reproduktif.

"Ia juga mendidik anak-anak  mengenai kesan kepada sesuatu perbuatan kalau dia mengadakan hubungan seksual, ini adalah kesannya seperti mengandung.

"Ini penting juga kepada anak lelaki. Apabila dia dewasa, dia ada keinginan tertentu.Ini yang penting supaya mereka memahami dan menjaga diri mereka dari segi hubungan seksual ini," tambahnya.