MALAYSIA

Elak pertembungan kunci kemenangan PRN Sabah ke-17 - Saifuddin Nasution

Bernama 12/11/2025 | 02:50 MYT
SAIFUDDIN NASUTION: Idea terbaik (rundingan kerusi) adalah elak (pertembungan) sama sekali tetapi kalau tidak dapat elak, minimumkan sedapat mungkin. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) yakin bahawa kunci utama untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah dengan mengelak sebarang pertembungan dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Ringkasan AI
  • Pakatan Harapan (PH) yakin kunci kemenangan PRN Sabah ke-17 adalah mengelak pertembungan dengan BN dan GRS.
  • Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, diamanahkan untuk rundingan kerusi dengan BN dan GRS bagi meningkatkan kebolehmenangan.
  • Meskipun rundingan telah selesai, masih terdapat permintaan daripada semua pihak berhubung pembahagian kerusi untuk PRN Sabah.


Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah diamanahkan oleh Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai rundingan dengan BN dan GRS bagi mengelak atau meminimumkan pertembungan dengan rakan kerjasama.

Beliau yang merupakan Pengarah Bersama PRN Sabah berkata rundingan pembahagian kerusi dengan BN menunjukkan hasil positif apabila tiada pertembungan antara kedua-dua parti itu, manakala rundingan dengan GRS juga telah dimuktamadkan.

"Idea terbaik (rundingan kerusi) adalah elak (pertembungan) sama sekali tetapi kalau tidak dapat elak, minimumkan sedapat mungkin. Tujuannya adalah meningkatkan kebolehmenangan.

"Itu yang saya selesaikan (rundingan kerusi) lebih kurang seminggu lepas, bila saya susun untuk GRS bertemu dengan Datuk Seri Anwar di Kuala Lumpur diikuti dengan pertemuan BN," katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat beliau.

Saifuddin Nasution berkata meskipun rundingan telah dimuktamadkan, masih wujud permintaan daripada kesemua parti berhubung pembahagian kerusi bagi PRN Sabah ini.

"Sehari dua ini ada satu atau dua permintaan di pihak BN, GRS serta PH. Saya percaya sehingga hari penamaan calon, satu atau dua kerusi itu masih boleh kita uruskan.

"Hakikatnya kita dah pun muktamadkan (kerusi) tetapi dynamic (akar umbi) bawah itu membawa kepada permintaan, tapi umumnya saya boleh buat kesimpulan bahawa kita sudah selesaikan (rundingan dengan BN dan GRS)," katanya.

Saifuddin Nasution berkata proses rundingan kerusi merupakan tugas berat dan memerlukan masa yang panjang namun pengalaman beliau sejak 1999, banyak membantu melancarkan proses berkenaan.

"Proses rundingan ini bottom line adalah kita mengelak sedaya upaya agar tidak berlaku pertembungan, tujuannya bagi meningkatkan kebolehmenangan kerana mengelak pertembungan sesama kita.

"Peranan saya lebih kepada melakukan rundingan kerusi... dan memakan masa lama, tekanan sangat berat dan tidak mudah sebenarnya," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, tarikh penamaan calon pula pada 15 Nov manakala tarikh pengundian awal pada 25 Nov.

Terdapat 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dan 10 calon Parti Keadilan Rakyat dilapor bakal bertanding.

Sepuluh kerusi itu merupakan sebahagian daripada 23 kerusi yang diperuntukkan kepada Pakatan Harapan untuk ditandingi pada PRN berkenaan.

-- BERNAMA
#Saifuddin Nasution #PRN Sabah 2025 #Pakatan Harapan #Gabungan Rakyat Sabah