Pada Jun lepas, Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom) telah memasang dan mengeksport 200 unit Hyundai Elantra ke Thailand untuk dipasarkan oleh Hyundai Motor Corporation (Thailand)/HMC Thai. Langkah ini menandakan satu hubungan diantara Inokom dan HMC Thai yang diharap dapat berkembang menjadi satu program yang berterusan.

Mengikut perancangan, satu lagi penghantaran kereta berjumlah 200 unit Elantra akan dihantar dan dipasarkan pada bulan ini (September 2014) dengan nama Elantra Sport dan dilengkapi enjin Nu 1.8 liter. Di Thailand, tiga varian model yang dijual adalah 1.8L GLS Navi, 1.8L GLE dan 1.8L.

Jumlah unit yang dieksport diramal akan bertambah serentak dengan permintaan. Ini kerana mengikut perjanjian AFTA (ASEAN Free Trade Aggreement), kereta yang dipasang didalam rantau Asean mendapat kelebihan cukai dan seterusnya menghasilkan harga kereta yang lebih murah dari sebelumnya. Selama ini kereta-kereta Hyundai yang dijual di Thailand datang daripada Korea ataupun Indonesia (PT Hyundai Indonesia – seperti Inokom – hanya memasang MPV Starex daripada kit hampir siap).

Sebelum ini jualan kereta sedan Hyundai di Thailand tidak seperti saingan-saingan biasa mereka seperti Toyota dan Honda – di mana kedua-duanya mempunyai kilang pemasangan yang besar dan aktif. Tidak termasuk cukai-cukai kecil yang terlibat, cukai eksais di Thailand untuk kereta kelas ini yang diimport dari luar Asean mencecah 30%, lantas menjadikan model seperti Elantra jauh lebih mahal berbanding Toyota Altis ataupun Honda Civic.

Dengan pelepasan cukai mengikut perjanjian AFTA, sekarang harga Elantra turun ke THB749,000 (RM74,918) untuk varian GL, THB819,000 (RM81,972) untuk GLE, dan THB898,000 (RM89,879) untuk varian GLS. Ini maknanya harga telah turun – bagi varian GLS – lebih kurang 25%.

Habis tu?
Selain menjadikan model Elantra lebih menarik dan diharap akan menambahkan lagi jualannya di negara Thailand, ibu pejabat Hyundai di Seoul juga pasti menyedari bahawa adalah lebih baik untuk mereka melebarkan jaringan kilang-kilang yang memasang kenderaan Hyundai. Bagi rantau Asean, Inokom boleh dikatakan ‘langkah kanan’ kerana mempunyai kilang dengan kapasiti output 27,000 unit setahun, dengan kemampuan untuk ditambah serta lengkap dengan perkampungan vendor yang hampir dengan kilang tersebut.

(Gambar sekadar ilustrasi)

Ini ditambah lagi dengan isu kesatuan pekerja Hyundai (dan Kia) di Korea yang kerap melancarkan mogok untuk mendesak, antara lain, kenaikan gaji. Pihak syarikat akan berunding dengan wakil kesatuan tetapi untuk tahun ini syarikat-syarikat pemasangan kereta di Korea turut tertekan dengan kenaikan nilai mata wang Won yang menghakis kadar keuntungan ke atas produk export.

Kesatuan pekerja Hyundai dan Kia masing-masing mewakili 47,000 dan lebih 30,000 individu dan antara permintaan pihak pekerja Hyundai adalah kenaikan umur bersara dari 58 ke 60 tahun. Yang lebih berat untuk Hyundai tunaikan adalah tuntutan kenaikan gaji lebih 130,000 Won (RM403) sebulan; pembayaran bonus prestasi sekali-bayar, dan pembayaran bonus tahunan yang disertakan sekali di dalam gaji pokok.

Persekutuan Majikan Korea menjelaskan bahawa jika permintaan kesatuan pekerja diterima bulat-bulat, syarikat-syarikat di Korea akan terpaksa menanggung pembayaran tambahan berjumlah $10 bilion hanya untuk menjelaskan gaji pokok.

Isu bonus tahunan juga satu perkara yang merisaukan pihak syarikat. Di Korea, gaji pokok merupakan rujukan untuk pembayaran lain-lain seperti kadar waktu kerja lebih (overtime), kenaikan gaji tahunan dan pembayaran pemberhentian kerja (severance).

Lagi?
Krisis ekonomi yang teruk melanda industri automotif pada 2008-2010 memberi kelebihan kepada Korea Selatan kerana nilai mata wang Won yang sangat rendah berbanding Yen (Jepun) dan dolar (US). Dengan itu kereta yang mereka eksport menyalurkan keuntungan yang lebih. Pada waktu ini juga imej Hyundai sedang mula naik disebabkan kualiti produk yang lebih baik dan kesedaran tambahan yang positif kepada produk mereka.

Namun dengan nilai mata wang Korea Selatan yang memuncak sekarang menjadikan margin keuntungan turun menjunam, ditambah dengan desakan kesatuan pekerja.
Mengalihkan fokus pengeluaran ke luar Korea, dan khususnya yang diusahakan oleh pihak ketiga (seperti Inokom) turut memberi kelebihan untuk pengeluar seperti Hyundai agar bebas daripada tekanan dari segi merancang output kilang.

Salah satu pengajaran daripada krisis 2008-2010 ialah untuk mengurangkan overhead tetap, termasuk kilang pengeluaran milik syarikat induk. Ada teori yang mengatakan bahawa antara sebab Toyota menerima kesan hebat daripada krisis tersebut ialah jumlah kilang yang mereka miliki. Apabila berlaku krisis, mereka masih perlu membayar gaji pekerja dan komitmen kepada vendor dan seumpanya masih perlu diberikan perhatian.

Berbeza jika masalah pemasangan ditugaskan ke pihak ketiga. Sedikit sebanyak jumlah pengeluaran boleh diubah untuk menepati permintaan pembeli dan masalah pekerja kilang tidak perlu ditanggung syarikat. Jadi perlu ada strategi di dalam jumlah kilang yang dimiliki syarikat dan kilang (seperti Inokom)yang diikat kontrak untuk menghasilkan produk-produk yang diperlukan.

Namun, perkara yang menjadi isu adalah pandangan Hyundai sendiri mengenai rantau Asean. Reaksi yang sangat baik untuk produk Hyundai dan Kia serta potensi pasaran-pasaran yang lebih besar (seperti negara-negara BRIC, terutamanya India, Brazil dan China) memaksa mereka untuk menumpukan perhatian dan pelaburan ke tempat-tempat yang lebih strategik.

Antara faktor yang dapat menyakinkan pelaburan Hyundai sampai ke Malaysia, seperti Inokom, adalah menjadikannya pusat pemasangan untuk model-model panduan belah kanan (right-hand drive) bagi rantau ini.