[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Elaun mobiliti sehingga RM1,000 akan diperkenalkan - Steven

Irfan Faruqi 06/06/2025 | 02:20 MYT
Steven Sim dalam program Agenda AWANI berkata elaun mobiliti sehingga RM1,000 akan diperkenalkan untuk memudahkan pekerja berpindah ke lokasi pekerjaan masing-masing. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Elaun mobiliti sehingga RM1,000 akan diperkenalkan untuk memudahkan pekerja berpindah ke lokasi pekerjaan masing-masing.

Ringkasan AI
  • Elaun ini bertujuan membantu pekerja yang perlu berpindah ke lokasi pekerjaan baharu yang jauh.
  • Manfaat baharu termasuk perlindungan bencana luar waktu kerja dan bantuan tambahan kepada individu yang kehilangan pekerjaan.
  • Kenaikan gaji minimum dan program latihan kemahiran telah meningkatkan pendapatan pekerja, dengan median upah bulanan negara kini melepasi RM3,000.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata ini merupakan antara penambahbaikan kepada skim untuk pekerja yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai.
“Seperkara yang baru di perkenalkan juga ialah elaun mobiliti, yang mana jika seseorang hilang pekerjaan mereka akan dapat elaun cari kerja dan elaun latihan.
“Tetapi jika mereka dapat pekerjaan di lokasi yang jauh, mereka akan dapat elaun khas sehingga RM1,000 untuk bantu mereka berpindah.
“Contohnya, berpindah daripada luar Lembah Klang ke dalam Lembah Klang, atau dari Sabah ke Semenanjung Malaysia. Ini satu penambahbaikan yang baru diluluskan.
“Saya akan bawa penambahbaikan ini dalam satu Rang Undang-undang di Parlimen. Saya juga telah minta kepada semua ahli-ahli parlimen untuk sokong,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Elaun mobiliti sehingga RM1,000 akan diperkenalkan - Steven
Tambahnya, kerajaan juga telah bersetuju untuk memperluas manfaat kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Sistem Insurans Pekerja (SIP).
Manfaat tersebut melibatkan perlindungan bencana luar waktu kerja dan manfaat tambahan bagi individu yang hilang pekerjaan.
Dalam pada itu, Steven turut menyentuh mengenai impak dasar kerajaan mengenai gaji pekerja di Malaysia.
“Tahun lepas kita telah laksanakan kenaikan gaji minimum yang memberi manfaat langsung kepada 4.3 juta pekerja di Malaysia. (Daripada jumlah itu) 80 peratus ialah pekerja warganegara Malaysia. Orang selalu anggap gaji minimum memberi untung kepada warga asing, tetapi sebenarnya tidak.
“Kita juga ada garis panduan gaji, supaya majikan dan pekerja tahu kadar gaji yang sesuai bagi sesuatu pekerjaan. Kita juga telah merancakkan program-program latihan kemahiran. Kita percaya dengan kemahiran yang lebih tinggi, pekerja kita mampu kecapi pekerjaan bernilai lebih tinggi.
"Hasilnya, kita nampak untuk kali pertama dalam sejarah median upah bulanan dalam negara menjangkaui batas psikologi RM3,000,” jelasnya.
Agenda AWANI: Cerita AI, pekerja gig dan kesan tarif AS
#Agenda Awani #gaji minimum #Steven Sim #perkeso #Rang Undang-Undang #kos sara hidup #sumber menusia #elaun mobiliti