KUALA LUMPUR: Education Malaysia Global Services (EMGS) bersama institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan akan mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa pilihan pelajar asing walaupun berdepan pandemik.

EMGS dalam kenyataan berkata hampir 200 wakil berkumpul melibatkan 108 IPT di Malaysia untuk mempromosikan Study in Malaysia bagi tahun 2022 dalam acara, 2022 Moving Forward Together yang berlangsung pada 28 Feb.

Menurut kenyataan itu, EMGS bersama IPT tempatan bersedia untuk mengalu-alukan lonjakan pelajar antarabangsa ke Malaysia selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

"Persefahaman yang mantap dan kerjasama yang kukuh dengan semua institusi pengajian tinggi di Malaysia akan mengukuhkan lagi komitmen EMGS untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan terbaik pilihan pelajar antarabangsa," kata Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Mohd Radzlan Jalaludin dalam kenyataan itu.

EMGS ialah Syarikat Terhad mengikut Jaminan (CLBG) di bawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, bertanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa pilihan dan menempatkan Malaysia sebagai destinasi pendidikan 10 Terbaik.

-- BERNAMA