PENCEMARAN sungai di Selangor yang berulang kali berlaku sebelum ini menyebabkan jutaan rakyat terjejas apatah lagi apabila bekalan air terpaksa ditutup untuk kerja pembersihan.

Meskipun kerajaan negeri meningkatkan kadar hukuman, daripada RM200,000 ke RM1 juta namun pencemaran masih berlaku, seolah-olah hukuman itu tidak menghadirkan gerun kepada mereka yang gemar melakukan pencemaran.

Melihat isu tersebut yang seakan tiada berkesudahan, dua pengkaji dari EMIR Research, Jason Loh Seong Wei dan Tan Tze Yong mencadangkan dua strategi radikal untuk menangani pencemaran sungai kepada kerajaan persekutuan dan negeri Selangor.

BACA: Polis panggil pemilik kilang bantu siasatan pencemaran Sungai Semenyih

Strategi pertama, kerajaan Persekutuan dan Negeri harus mempertimbangkan untuk menambah klausa undang-undang kepada semua akta berkaitan pencemaran sungai.

Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan bantuan guaman percuma kepada isi rumah atau perniagaan untuk menyaman mereka yang melakukan pencemaran sehingga menjejaskan penduduk.

Klausa undang-undang sebegitu secara tidak langsung akan memberi tekanan kewangan kepada pencemar sekali gus dapat mengawal tindakan mereka dalam membuang efluen.

[TERKINI] Air Selangor henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih


Apabila tuntutan kewangan diteruskan dalam prosiding sivil, pencemar akan berfikir banyak kali untuk membuang bahan tercemar ke dalam sungai apatah lagi sekiranya kos daripada pencemaran itu akan membebankan mereka.

Justeru, apabila berlakunya pencemaran sekali lagi, rakyat Selangor tidak perlu bimbang dengan kerugian dihadapi kerana mereka boleh menuntutnya daripada pihak yang melakukan pencemaran.

Strategi kedua pula ialah meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan, bukan hanya merancang untuk melakukannya tapi benar-benar melaksanakannya.

Pencemaran Air | LUAS ambil empat sampel di Sungai Semenyih


Selain itu, EMIR Research juga mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan pangkalan data yang mengumpul jenis bahan kimia digunakan setiap industri dan berkongsi maklumat itu di kalangan pihak berkuasa berkaitan.

Apabila pencemaran sungai berlaku, pihak berkuasa boleh terus mencari dalam pangkalan data untuk mengetahui bahan kimia apa yang digunakan, sekali gus mengecilkan skop siasatan.

Tindakan ini dipercayai akan mempercepatkan proses mencari pesalah.