MALAYSIA

Empangan Teluk Bahang capai kapasiti efektif 84.2 peratus - PBAPP

Bernama 08/11/2025 | 06:15 MYT
Empangan berkenaan telah mencapai kapasiti efektif 84.2 peratus susulan jumlah hujan di kawasan tadahan air (KTA) merekodkan sebanyak 989 milimeter (mm) dalam tempoh 88 hari dari 1 Sept hingga semalam. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjangkakan kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang berada antara 80 hingga 90 peratus sebelum musim kering seterusnya melanda negeri itu mulai Januari 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata ketika ini empangan berkenaan telah mencapai kapasiti efektif 84.2 peratus susulan jumlah hujan di kawasan tadahan air (KTA) merekodkan sebanyak 989 milimeter (mm) dalam tempoh 88 hari dari 1 Sept hingga semalam.

"Dengan lebih banyak hujan diramalkan pada bulan ini, tahap kapasiti empangan dijangka terus meningkat dan dalam keadaan baik untuk memenuhi keperluan air kira-kira 37,000 pengguna, kecuali berlaku keadaan tidak dijangka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan menjangkakan simpanan air semasa dapat membantu pengguna air di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Mount Erskine dalam menghadapi musim kering.

Kapasiti efektif empangan itu mencatatkan 61.7 peratus pada 1 Jan lepas sebelum menurun ke paras terendah tahun ini, iaitu 45.6 peratus pada 10 April, selepas 100 hari cuaca panas dan kering.

Empangan Air Itam juga berada pada paras terbaik, iaitu 98.1 peratus setakat direkodkan semalam, manakala Empangan Mengkuang Diperbesarkan pula 90.8 peratus.

"Di Sungai Muda, pada minggu pertama November 2025, paras air direkodkan antara 2.2 hingga 2.5 meter di Muka Sauk Lahar Tiang, Seberang Perai Utara (SPU). Paras 'selamat' bagi abstraksi air secara optimum ialah 2.0 meter, justeru PBAPP akan terus mengoptimumkan abstraksi air mentah dari Sungai Muda," katanya.

-- BERNAMA



#Empangan Teluk Bahang #musim kemarau #pulau pinang #K Pathmanathan