Empat beradik, bapa saudara antara tujuh yang ditahan edar dadah

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 1, 2023 05:49 MYT
Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (tiga dari kiri) mengumumkan hasil rampasan dadah daripada dua serbuan yang dilakukan polis Pulau Pinang dalam sidang media di Kepala Batas, hari ini. - Gambar Astro AWANI
KEPALA BATAS: Tujuh lelaki termasuk lima ahli keluarga ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) minggu lalu selepas terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 41.8 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.5 juta.
Menurut Mohd Shuhaily, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Pokok Sena, di sini, pada jam 8.45 malam, 28 Januari lalu, polis menahan lima lelaki tempatan serta merampas syabu seberat 11.4 kg.
“Terdapat lima orang yang ditangkap, setelah kita semak (mereka) adalah ahli keluarga dan empat daripadanya mempunyai talian adik beradik… kelima-lima ahli keluarga (terdiri daripada) anak saudara dan bapa saudara,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini, pada Rabu.
Menurut Mohd Shuhaily, dua suspek yang ditahan bekerja sebagai pemandu lori dan mekanik, manakala
selebihnya penganggur.
Susulan itu, polis juga, kata beliau, turut melakukan serbuan di sebuah kiosk di Bertam pada jam 8 pagi keesokan harinya dan menahan dua lagi ahli sindiket serta merampas syabu seberat 30.3 kg.
“Daripada (susulan) yang pertama itu membawa kepada serbuan kedua. Kita berjaya menangkap dua lelaki tempatan dan merampas 30 bungkusan plastik kehijauan tertulis seperti mana yang saya sebut tadi “Chinese tea” yang mengandungi serbuk dan ketulan dadah dipercayai jenis syabu anggaran seberat 30.38 gram bernilai RM1.09 juta,” tambah Mohd Shuhaily.
Beliau turut memaklumkan, hasil risikan mendapati sindiket terbabit telah bergiat aktif sejak pertengahan tahun 2022 dengan mengedar dadah untuk pasaran tempatan.
Katanya, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan 210,000 orang atau 210,000 kali penggunaan.
Ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis Methamphetamine manakala dua suspek memiliki rekod dadah dan jenayah.
Polis turut menyita empat kenderaan bernilai RM470,000 dan wang tunai RM1,000.
Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 54 tahun itu ditahan reman selama enam hari sehingga 3 Februari 2023.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
#empat beradik #bapa saudara #edar dadah #Seberang Perai Utara