MULU: Empat lelaki termasuk dua warga asing cedera setelah jambatan yang dinaiki mereka runtuh di Mulu Marriot Resort & Spa dekat sini pada Selasa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, insiden tersebut berlaku ketika kesemua mangsa, iaitu kakitangan resort tersebut serta wakil syarikat pembalakan, Samling melakukan kerja-kerja pemeriksaan tapak di tempat peranginan berkenaan sekitar jam 3 petang.

Makluman awal bomba melaporkan, Pengurus Besar resort terbabit Marc Cosyns, warganegara Belgium, telah mengalami kecederaan patah tangan kanannya selain luka sebelah mata akibat tercucuk benda tajam.

Anggota JBPM Sarawak menggunakan pengusung bagi memindahkan mangsa daripada tempat kejadian. - Foto JBPM Sarawak

Mangsa kedua, pengurus resort Benjamin Wolff, warganegara Jerman, pula cedera di pinggang dan kaki kanan menyebabkannya tidak dapat bergerak.

“Kami telah membawa mangsa menggunakan pengusung sebelum memindahkannya menggunakan perahu dan pacuan empat roda untuk dihantar ke Lapangan Terbang Mulu.

"Benjamin kemudian diterbangkan bersama tiga lagi mangsa ke Miri bagi menerima rawatan lanjut," katanya.

Kata jurucakap itu lagi, petugas paramedik di Mulu juga telah membuat pemeriksaan dan rawatan awal untuk kesemua mangsa.

Penerbangan mangsa ke Hospital Miri adalah dengan menggunakan helikopter milik Samling.