Polis menahan empat suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes bunuh bekas calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) di tingkat bawah Flat PKNS, Seksyen 7, Shah Alam, pada Isnin.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata pihaknya kini memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Ozziram M. Devan bagi membantu siasatan.

"Pihak JSJ Selangor memohon kerjasama orang awam untuk memberikan maklumat mengenai Ozziram yang alamat terakhirnya di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang, Selangor.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi terus pegawai penyiasat, ASP Vignesh Kumar, di talian 03-55202222," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa M Thiyaru, 30, diserang tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki.

Mangsa dibawa orang ramai ke Hospital Shah Alam namun meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang ketika menerima rawatan.