Empat individu bergelar Datuk antara ditahan bantu siasatan kes tipu pindah milik tanah di Kluang

Astro Awani
Ogos 25, 2022 06:04 MYT
Kamarul Zaman pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Khamis. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Empat individu bergelar Datuk merupakan antara lapan warga tempatan yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam transaksi pindah milik tanah bernilai lebih RM100 juta tanpa kebenaran di Kluang.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia membabitkan sebuah lot tanah berkeluasan 4,200 ekar milik Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) sejak 1987 yang didapati telah berpindah milik kepada sebuah syarikat persendirian tanpa kebenaran agensi terbabit pada tahun lalu.
Katanya kesemua mereka yang ditahan berumur antara 46 hingga 75 tahun, berperanan sebagai ahli lembaga pengarah koperasi dan pegawai pejabat tanah ketika kejadian berlaku.
Katanya, tujuh individu ditahan di Selangor manakala seorang lagi di Johor, antara jam 3 petang hingga 8 malam pada Rabu.
"Tanah dipajak pada tahun 1987 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setuju memberi tanah dengan pajakan bernilai RM1.47 juta kepada Kejora dan pihak Kejora telah diberikan pajakan kepada satu anak syarikat koperasi dan koperasi telah dibubarkan pendaftarannya.
"Dalam tempoh pembubaran tersebut telah berlakunya perkara yang menyebabkan tanah dipindah milik kepada individu lain dengan nilai melebihi nilai RM100 juta lebih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Khamis.
Katanya lagi, seramai 28 saksi terdiri pengarah dan setiausaha syarikat serta peguam, pelikuidasi dan pegawai agensi badan berkanun telah dipanggil untuk beri keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebatan.
#pindak milik tanah #Kluang #KEJORA #bergelar datuk