KUALA LUMPUR: Empat jawatankuasa kerja akan ditubuhkan untuk menyokong Jawatankuasa Khas Kabinet dan Jawatankuasa Eksekutif Dasar Gaji Progresif melibatkan pembangunan dasar, pembangunan sistem, peningkatan kemahiran dan panduan kenaikan gaji tahunan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kesemua jawatankuasa itu akan memperincikan mekanisme pelaksanaan Dasar Gaji Progresif bagi memastikan setiap program sejajar dengan hala tuju dan strategi yang ditetapkan.

"Ini termasuk memperincikan panduan kenaikan gaji, mekanisme kawal selia pemberian insentif dan pengauditan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara, pada Selasa.

Menurut Hanifah Hajar, Dasar Gaji Progresif akan dimulakan secara rintis pada Jun 2024 melibatkan 1,000 syarikat dengan peruntukan tidak melebihi RM50 juta.

"Pemilihan syarikat akan dibuat berdasarkan faktor seperti dimana kenaikan gaji pekerja lebih diperlukan dan mewakili sektor serta syarikat yang bersedia melaksanakan Dasar Gaji Progresif.

"Pelaksanaan secara menyeluruh dasar berkenaan dan peruntukan yang akan disediakan bagi tujuan pelaksanaan menyeluruh akan diputuskan selepas penilaian impak projek rintis dilaksanakan pada September 2024," katanya.

Beliau berkata, Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan pada 14 Disember ini.

Mengenai pembangunan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), Hanifah berkata, sehingga 5 Dis 2023, kemajuannya berada pada tahap 93.3 peratus.

"Sesi ujian penerimaan pengguna telah dijalankan dari 28 Nov sehingga 5 Dis 2023. Seterusnya, sesi pengujian penilaian postur keselamatan dan ujian prestasi dijangka diadakan mulai esok," katanya.

Beliau berkata, Sistem PADU akan dibuka kepada pengguna bermula 1 Jan hingga 31 Mac 2024 bagi tujuan kemas kini dan pengesahan maklumat individu, manakala bermula 1 April 2024, data dan maklumat yang dikemukakan dalam sistem itu akan dianalisis berdasarkan kes gunaan untuk menentukan kumpulan sasar bagi penyasaran semula subsidi.

Mekanisme penyasaran semula subsidi yang menggunakan data PADU sebagai asas dalam menentukan kumpulan sasar dijangka diumumkan kerajaan pada pertengahan tahun depan, katanya.

Sementara itu, Hanifah Hajar berkata, kerajaan berhasrat untuk meneruskan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang dijadualkan pada Mac 2024.

Penganjuran KEB 2024 bertujuan menyemak semula dasar sedia ada serta menetapkan hala, dasar baharu dan pelan tindakan penyelesaian terhadap isu ketidakseimbangan sosioekonomi yang masih wujud dalam kalangan etnik bagi membangunkan agenda bumiputera yang adil, saksama dan inklusif, katanya. - BERNAMA