MALAYSIA

Empat lagi Taman Rekreasi MADANI dirasmikan, KPKT rancak mensejahterakan rakyat

Bernama 06/09/2025 | 09:45 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika melakukan tinjauan di sekitar taman permainan pada perasmian Taman Rekreasi MADANI Westpool Park di Kepayang hari ini. --Foto Bernama
IPOH: Empat lagi Taman Rekreasi MADANI (TRM) dirasmikan hari ini, dalam usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempergiat langkah mensejahterakan rakyat menerusi agenda pembangunan 1,000 TRM menjelang tahun 2035 di seluruh negara.


Ringkasan AI
  • Empat Taman Rekreasi MADANI (TRM) dirasmikan di Ipoh, sebahagian daripada sasaran 1,000 TRM menjelang 2035; KPKT peruntuk RM5.4 juta untuk 12 TRM di kawasan MBI.
  • KPKT capai 109 TRM pada 2024 dan sasarkan 100 lagi tahun ini, menjadikan 216 TRM siap sepenuhnya untuk kegunaan penduduk sebagai taman kejiranan.
  • Nga Kor Ming seru elak vandalisme dan pastikan kemudahan TRM dijaga, kerana ia bukan sekadar tempat riadah tetapi juga bantu kesihatan mental komuniti.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata empat daripada keseluruhan 12 TRM, yang dibangunkan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu telah siap sepenuhnya pada Julai lepas seperti disasarkan.

Nga berkata TRM itu ialah TRM Taman Pusing Baru, TRM Taman Kledang, TRM Taman Pengkalan Barat dan TRM Taman Westpool, di sini.

"Dalam kawasan Ipoh sahaja, kami (KPKT) telah memperuntukkan RM5.4 juta untuk membina 12 buah TRM. Hari ini, kita telah rasmikan empat, ada lapan lagi sebenarnya pun sudah siap, cuma tidak sempat dirasmikan.

"Bagaimanapun, ia (TRM berkenaan) sudah diguna pakai dan banyak mendatangkan maklum balas yang sangat positif, kerana kini TRM bukan sahaja tempat orang untuk beriadah, berehat, beristirahat, tetapi dia sudah menjadi satu bentuk fisioterapi untuk menjaga kesihatan mental," katanya pada sidang media selepas merasmikan TRM Taman Westpool di sini hari ini.

Nga berkata KPKT berjaya melepasi sasaran dengan menyempurnakan 109 TRM pada tahun lepas, manakala tahun ini 100 lagi TRM bakal disempurnakan, menjadikan 216 TRM bakal siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini untuk digunakan penduduk sebagai taman kejiranan.

Sementara itu, Nga berkata beliau juga telah merasmikan Pintu Gerbang Kampung Kepayang pagi tadi, iaitu kampung Melayu pertama dalam kawasan Ipoh sejak tahun 1915.

"Kampung itu berdiri megah dalam kawasan bandar raya Ipoh, akhirnya mereka (penduduk) mendapat pintu gerbang baharu selepas menanti 110 tahun. Kerajaan MADANI akan sentiasa pastikan pembinaan TRM ini menjadi mercu tanda ikonik dan kegemaran penduduk setempat," katanya.

Dalam pada itu, Nga tidak menafikan bahawa pihaknya ada menerima aduan berkaitan kerosakan akibat sikap pengguna di TRM, justeru menyeru semua pihak wajib memastikan kemudahan yang dibina itu dijaga sebaik mungkin atas dasar tanggungjawab bersama.

"Pastikan semua kemudahan (TRM) ini dijaga dengan sebaik-baik yang mungkin, ini tanggungjawab kita semua, tiada alasan. Ada sedikit laporan (kerosakan), tetapi walaupun keadaan tidak serius, saya menaruh harapan yang tinggi menuju ke vandalisme sifar supaya tak ada satu kes pun," katanya.

-- BERNAMA




#taman rekreasi MADANI #KPKT #Nga Kor Ming #1 000 TRM