MALAYSIA

Empat lelaki maut kereta terbabas rempuh pokok di SKVE

Bernama 01/09/2025 | 07:38 MYT
Empat lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda terbabas dan melanggar pokok di Lebuhraya SKVE. -Foto ihsan bomba
SHAH ALAM: Empat lelaki maut selepas kereta pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dipercayai akibat hilang kawalan sebelum melanggar pokok dalam kejadian di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Empat lelaki berusia lingkungan 40-an maut selepas kenderaan pacuan empat roda terbabas dan melanggar pokok di Lebuhraya SKVE, dipercayai akibat pemandu mengantuk.
  • Pemandu tercampak keluar manakala penumpang tersepit; kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam diminta tampil membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu juga disyaki berpunca daripada pemandu dalam keadaan mengantuk ketika dalam perjalanan pulang dari Dengkil ke Banting.

"Pemandu dan tiga lagi penumpang yang kesemuanya warga tempatan berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Banting di tempat kejadian.

"Kesemua waris mangsa telah membuat laporan polis dan dirakam keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Langat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Akmalrizal turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp S. Taneswaran di talian 03-31872222 atau 012-6708561.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar dilaporkan berkata dalam nahas itu pemandu kenderaan terbabit tercampak keluar manakala kesemua penumpang tersepit.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada kira-kira 2.21 pagi sebelum menggerakkan sepasukan pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang ke lokasi.

-- BERNAMA



#Empat lelaki maut #kenderaan pacuan empat roda #Lebuhraya SKVE #pemandu mengantuk