Empat maut, 12 cedera nahas di LPT1

Azee Shafy
Ogos 27, 2022 02:51 MYT
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam nahas di LPT1. - Foto JBPM Pahang
TEMERLOH: Empat maut dalam satu kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di KM135.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1) menghala Kuantan, pagi ini.
Mangsa merupakan tiga lelaki dan seorang wanita, disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 3.26 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Temerloh bergerak ke lokasi.
"Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan empat kenderaan, iaitu lori kontena, lori penunda serta dua buah kereta (Proton Exora dan Proton Waja).
"Empat maut, iaitu mangsa dari kereta Proton Exora dan lori penunda.
"Sementara 12 mangsa lagi yang mengalami kecederaan telah diserahkan kepada pihak KKM untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, berdasarkan makluman awal, lori kontena dipercayai telah merempuh lori penunda yang sedang menunda Proton Exora yang rosak di tepi jalan, selain sebuah Proton Waja yang turut berhenti di lokasi kejadian.
Akibat rempuhan itu, kereta Proton Exora yang dinaiki 11 orang membabitkan lima kanak-kanak, tiga lelaki dan tiga wanita terjatuh ke dalam gaung pada anggaran ketinggian 12 meter.
#Nahas #LPT #JBPM #maut