LANCHANG: Empat orang disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan 11 kenderaan - sebuah lori tangki, sebuah bas ekspres dan sembilan kereta di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) arah Lanchang menghala ke Kuantan, malam tadi.
Tragedi sekitar jam 10.44 malam itu melibatkan sebuah bas ekspres membawa 30 penumpang, manakala sembilan kereta lain yang terlibat ialah jenis Proton S70, Honda CRV, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Perodua Aruz, dua Perodua Myvi dan dua buah Proton Saga.
Tiga daripada mangsa yang terkorban merupakan pemandu dan penumpang kereta Proton S70 iaitu Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta seorang kanak-kanak lelaki.
Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah seorang lelaki dewasa berbangsa Cina yang berada di dalam kenderaan Honda CRV.
Dua mangsa mengalami kecederaan akibat tersepit iaitu pemandu lori tangki dan seorang lelaki dewasa di dalam Honda CRV, manakala seorang pemandu Proton Saga dilaporkan mengalami cedera ringan. Puluhan penumpang bas serta pemandu dan penumpang kenderaan lain dilaporkan selamat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab dengan bantuan BBP Temerloh dan BBP Karak ke lokasi.
Seramai 21 anggota bomba bersama aset logistik dikerah bagi menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut, manakala kesemua jenazah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan susulan.
Operasi menyelamat dan pembersihan lokasi tamat sepenuhnya pada jam 2.50 pagi.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.