Empat nelayan Indonesia ditahan di perairan Miri

Bernama
September 23, 2019 20:59 MYT
Menurut Maritim, kawasan pesisir dikhaskan untuk nelayan yang menggunakan bot-bot kecil dan tindakan kru kapal warga Indonesia telah menyebabkan rungutan dari nelayan bot nelayan kecil.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan empat nelayan Indonesia dan menyita pelbagai jenis ikan seberat setengah tan bernilai RM100,000, di perairan Miri pukul 7.30 pagi Isnin.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, empat kru lelaki berumur 24 hingga 39 tahun itu ditahan ketika menangkap ikan di lokasi 3.7 batu nautika dari Kuala Baram.
"Keempat-empat kru bot nelayan tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan di kawasan pesisir," katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Menurutnya, kawasan pesisir telah dikhaskan untuk nelayan yang menggunakan bot-bot kecil dan tindakan kru kapal warga Indonesia telah menyebabkan rungutan dari nelayan bot nelayan kecil.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan aktiviti salah laku berlaku di perairan Miri, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204.
-- BERNAMA
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #Akta Perikanan 1985 #bot kecil #ikan #Indonesia #Kapten Maritim Md Fauzi Othman #kawasan pesisir #maritim #Miri #nelayan #perairan #salah laku