MALAYSIA
Empat pelajar pukul rakan sekelas ditahan polis

Polis menerima laporan daripada seorang pelajar lelaki berumur 13 tahun yang mendakwa dipukul oleh dua rakan sekelasnya ketika berada di pusat beli-belah di Kajang jam 11 pagi.
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat pelajar lelaki berusia 13 tahun kerana disyaki memukul rakan sekelas mereka di sebuah pusat beli-belah di Kajang, pada Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof, kejadian itu turut dirakam dan tular di laman media sosial.
Katanya, polis menerima laporan daripada seorang pelajar lelaki berumur 13 tahun yang mendakwa dipukul oleh dua rakan sekelasnya ketika berada di lokasi tersebut sekitar jam 11 pagi.
"Kejadian dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap sikap mangsa."Dua pelajar telah menumbuk dan menampar mangsa, manakala dua lagi merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit dan video berkenaan kini tular di media sosial.
"Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan di muka," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, empat pelajar yang terlibat telah ditangkap sekitar Kajang pada Khamis dan direman selama dua hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara dan/atau denda bergantung kepada seksyen berkenaan.
"Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Shahrulhasram Ramli di talian 017-2530380 atau balai polis berhampiran.
"Polis menegaskan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan jenayah dan menasihati pelajar agar tidak terbabit dalam tindakan yang boleh menjejaskan masa depan mereka," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami