Empat pencari orkid sesat dalam hutan ditemui selamat

Abd Razak Mohd Ali
Jun 14, 2020 22:33 MYT
Mangsa berjaya dijumpai pada jam 12.35 pagi dalam jarak lima kilometer dari pusat kawalan bomba. - Foto JBPM Perak
Empat peminat orkid tersesat di dalam hutan di Batu 23, Redang Panjang dekat sini, ketika mencari spesis bunga itu pada petang Ahad.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.14 malam.
"Kami terima maklumat daripada ketua operasi terdapat empat mangsa yang sesat di dalam hutan simpan semasa melakukan aktiviti mencari orkid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa.
Katanya, pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian telah membuat kerja-kerja mencari dan menyelamat.
“Mangsa berjaya dijumpai pada jam 12.35 pagi dalam jarak lima kilometer dari pusat kawalan bomba dan dibawa keluar dari hutan tersebut,” ujarnya.
Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi bomba tamat pada jam 2.45 pagi.
Difahamkan, mangsa lelaki merupakan pesara polis berusia 70-an yang dikatakan peminat orkid hutan.
#Batu Kurau #hutan #JBPM Perak #orkid #orkid hutan #pencari orkid #pesara polis #Redang Panjang #selamat #sesat