NATIONAL
Empat pesilat dan cef bawa nama Kedah ke ekspo dunia di Osaka

Delegasi peserta dari Kedah yang akan menyertai Ekspo Osaka Kansai Jepun 2025 dijadual berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober.
ALOR SETAR: Empat pesilat serta seorang cef diberi penghargaan untuk membawa nama Kedah ke Ekspo Osaka Kansai Jepun 2025.
Pesilat yang terbabit adalah daripada Pertubuhan Silat Pulut Warisan Padang Petani dan Persatuan Silat Gayong Malaysia Kebangsaan Malaysia.
Pengurus Pertubuhan Silat Pulut Warisan Padang Petani Kedah, Mohd Nizam Ahmad berkata, pemergian mereka membawa nama kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Katanya, mereka dijangka akan membuat persembahan bermula 27 April sehingga 5 Mei."Objektif kerajaan negeri adalah untuk memperkenalkan nama Kedah melalui silat dan masakan di acara berkenaan yang diadakan lima tahun sekali. Ekspo itu menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia," katanya.
Sementara itu, pesilat Nur Azlyana Yaakub, 18, berkata peluang membawa seni mempertahankan diri warisan negeri Jelapang Padi ke pentas antarabangsa adalah satu penghargaan untuknya, dan akan digunakan untuk membuka mata pelancong luar supaya datang ke Kedah yang kaya dengan pelbagai budaya dan tempat pelancongan menarik.
"Kita pergi bawa nama Kedah dan juga Malaysia. Saya harap banyak negara lain buka mata dan sedar bahawa Malaysia memiliki keunikan tersendiri dan salah satunya adalah silat.
"Dalam konteks Kedah, ialah silat pulut. Saya berharap silat pulut lebih terkenal di mata dunia," katanya.
Rakannya, Muhammad Irfan Mohd Riban pula berkata: "Saya bawa silat ini ke Jepun untuk naikkan nama silat kita ke peringkat dunia. Ramai yang tak tau silat itu apa... insya-Allah saya akan bawa nama seni silat ke luar dan biar orang luar tahu mengenainya," katanya.
Dalam pada itu, cef Saifuddin Rosli, berkata beliau akan membawa menu masakan dan makanan tradisional yang unik dari Kedah untuk memperluas industri makanan Malaysia dan mempromosikan sektor pelancongan negara.
Saifuddin menyifatkan pemilihan ini sebagai satu penghormatan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada seluruh masyarakat Kedah.
"Makanan warisan negeri Kedah yang akan dibawa ini ramai orang Malaysia pun tak tahu. Kita nak perkenalkannya di peringkat antarabangsa, contohnya gedongchak, bunga pudak, serabai, peknga, gulai batang pisang, gulau temenung, laksa dan bermacam-macam," katanya.
Ekspo Osaka Kansai Jepun 2025 dijadual berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami