Empat Pesuruhjaya EAIC dilantik, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Pengerusi

Astro Awani
Julai 24, 2020 03:59 MYT
Tan Sri Mohd Sidek Hassan (gambar) dilantik sebagai Pengerusi EAIC, manakala, Tan Sri Datuk Zainun Ali sebagai Timbalan beliau. - Gambar fail
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan empat anggota Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh 3 tahun berkuat kuasa pada 1 Julai 2020.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilantik sebagai Pengerusi EAIC, manakala, Tan Sri Datuk Zainun Ali sebagai Timbalan beliau.
Ia dibuat selaras dengan subseksyen 5 (1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
Dua lagi anggota pesuruhjaya yang dilantik ialah Datuk John Louis O’hara dan Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.
"Pelantikan ini akan memperkukuhkan pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang berintegriti dan efektif dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Kenyataan itu juga menyebut, kerajaan merakamkan penghargaan kepada barisan Pesuruhjaya EAIC terdahulu iaitu Datuk A. Aziz A. Rahim, Datuk Sabariah Hassan, Prof. Madya Dr. Abang Ekhsan Abang Othman, Lee Sow Siong, Leong May Chan dan James Deva Nayagam Gnanaratnam.
#integriti #kerajaan #menteri #Perdana Menteri #Tan Sri Mohd Sidek Hassan #Yang di-Pertuan Agong