Empat rumah panjang di Beluru masih dikenakan sekatan pergerakan

Nuzuluddin Abdul Razak
Februari 17, 2021 06:06 MYT
Lengang, keadaan di sekitar salah sebuah rumah panjang di Beluru yang dikenakan sekatan pergerakan 14 hari bermula 7 Februari lalu. -Foto: Astro AWANI
MIRI: Sekatan pergerakan di empat buah rumah panjang dalam daerah Beluru masih berkuatkuasa sehingga 21 Februari depan.
Empat rumah panjang tersebut ialah Rumah Panjang (Rh). Pengabang, Rh. Matthew Tiri, Rh. Lawang dan Rh. Banyan.
Menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataanya hari ini turut mengesahkan sekatan pergerakan di sembilan buah rumah panjang di bahagian Miri telah ditamatkan.
“Kawasan ini bebas dari sekatan pergerakan berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.
“Antaranya Rumah Panjang Rh. Emah, Rh. Apol, Rh. Anthony, Rh. Chabu, Rh. Justine, Rh. Nelson, Rh. Clarence, Rh. Sabang, dan Rh. Long Jeeh”, jelasnya.
Sementara itu, susulan kes positif yang dilaporkan di Daerah Beluru, Jabatan Kesihatan telah melakukan pengesanan kontak aktif (ACD) secara agresif pada 12 Februari sehingga 14 Februari lalu.
“Sebanyak 307 ujian calitan COVID-19 telah dilakukan membabitkan lima lokaliti iaitu Rh.Baran, Rh.Hillary Tawan, Rh.Ramba Abit, Rh.Plantation Bakong dan Kampung Haji Mohd Yusuf Taha,” tambah Shin yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak.
Selain rumah panjang dan kampung, sebuah estet dalam daerah Subis turut menjalani Perintah Sekatan Pergerakan berkuatkuasa 25 Januari sehingga 22 Februari depan.
Setakat semalam, Bahagian Miri mencatatkan 146 kes termasuk kes tempatan dalam tempoh 14 hari dengan jumlah keseluruhan 720 kes sejak Mac 2020.
Miri antara 11 daerah di Sarawak yang disenaraikan sebagai Zon Merah melibatkan 4 kluster yang masih aktif antaranya Kluster Bah Sayap, Kluster Seruas Beluru, Kluster Rakut, dan Kluster Jelita.
#COVID-19 #Sarawak #sekatran pergerakan #Rumah panjang #Miri #Beluru #kes positif