Empat rumah sederet terbakar di Alor Setar

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 26, 2022 01:45 MYT
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran melibatkan empat rumah di Taman Seri Abadi, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar malam tadi kerana kesemua penghuni berjaya lari keluar untuk menyelamatkan diri. - Foto ihsan JBPM Kedah
ALOR SETAR: Empat buah rumah sederet temasuk sebuah motosikal musnah dalam kebakaran di Taman Seri Abadi, Jalan Kuala Kedah, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.01 malam.
Katanya, dua pasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, bomba mendapati dua buah rumah sedang terbakar dan api marak telah merebak ke dua lagi rumah bersebelahan.
"Kerja pemadaman mengalami sedikit kesukaran kerana di sekitar Alor Setar mengalami gangguan bekalan air dan bomba terpaksa menggunakan ‘water tanker’ bagi pemadaman.
“Api berjaya dipadamkan pada jam 11.24 malam dengan bantu daripada pasukan bomba sukarela,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua penghuni berjaya lari keluar untuk menyelamatkan diri.
Katanya, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
#kebakaran #rumah terbakar #Alor Setar #JBPM Kedah