Empat sekeluarga maut kebakaran awal pagi di Subang Jaya

Astro Awani
Februari 6, 2017 06:10 MYT
Rumah yang terbakar musnah 80 peratus dan pihak bomba masih menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi mengenalpasti punca kejadian. - Jabatan Bomba dan Penyelamat
Empat individu ditemui maut dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Jalan USJ 2 di sini pagi ini.
Mereka dikenali sebagai pasangan suami isteri Lim Ah Kok, 58, dan Goh Bre Khim, 52, serta dua anak mereka, Lim Yong Liang, 20, dan Lim Yong Wei, 17.
Kebakaran dilaporkan berlaku jam 5.35 pagi sebelum pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, semua mangsa ditemui selepas pihak bomba selesai memadamkan kebakaran jam 6 pagi.
"Ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan bomba menemui dua individu mati dalam bilik tidur pada jam 6.41 pagi dan seorang lagi dalam bilik air.
"Lima minit kemudian seorang lagi mangsa ditemui dalam bilik tidur berasingan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, rumah berkenaan musnah 80 peratus dan pihak bomba masih menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi mengenalpasti punca kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, kebakaran dipercayai bermula dari tingkat bawah rumah akibat litar pintas.
Katanya, ketika ditemui, semua mangsa tidak rentung namun dipercayai meninggal dunia akibat lemas terhidu asap.
"Jangkaannya, kalau dari siasatan forensik, (api) bermula dari bawah, menyebabkan mangsa terperangkap di tingkat atas," katanya.
Menurut Mohamad Azlin, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Keluarga tersebut mempunyai seorang lagi anak perempuan yang tidak terlibat dalam kebakaran kerana tiada di rumah sewaktu kejadian dan sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi.
#empat maut #kebakaran #Mohd Sani Harul #rumah terbakar #Subang Jaya #USJ