Semalam merupakan hari yang istimewa bagi saya dan bukan hanya kerana pilihan raya umum semata-mata. Ini kerana, semalam juga genaplah empat tahun saya telah mengangkat sumpah di Istana Negara menjadikan saya sebaga Perdana Menteri di sebuah negara yang aman dan sedang membangun dari segi saiz serta ekonominya.

Sejak dari tarikh itu, saya telah memperkenalkan pelbagai inisiatif supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang lebih bebas dan makmur. Terdapat lima bidang utama telah menonjol dan saya ada menulis mengenai setiap satu daripada bidang ini dengan lebih lanjut di laman web saya .

Pertama sekali di sini, izinkan saya berbicara mengenai 1Malaysia. Apa yang ada pada teras transformasi negara ini adalah kepercayaan saya terhadap pentingnya perpaduan nasional tanpa mengira bangsa atau kepercayaan agama. Saya berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa tiada siapa harus ketinggalan sedang kita bergerak menuju ke hadapan untuk mencapai status negara maju. Dari kepercayaan inilah lahirnya 1Malaysia, bersama dengan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada Rakyat sehinggalah ke hari ini. Daripada perumahan dan penjagaan kesihatan hinggalah ke makanan dan pendidikan, anda boleh melihat begitu banyak program-program yang bertemakan 1Malaysia yang menyediakan perkhidmatan yang berpatutan dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia.

Keduanya adalah mengenai kemajuan ekonomi. Sewaktu saya mula memegang jawatan ini, ekonomi global sedang berada dalam keadaan tidak menentu. Untuk melindungi Malaysia daripada “bencana” ekonomi ini, kita terpaksa mengambil langkah-langkah yang berani dan tegas untuk terus menjana ekonomi kita. Dalam hal ini, Program Transformasi Ekonomi telah membawakan hasil yang jelas, dan diwaktu dimana banyak negara-negara lain masih terperangkap dalam masalah hutang dan kadar pertumbuhan rendah, Malaysia pula telah berjaya mara ke hadapan. Pada tahun lepas, misalnya, ekonomi kita telah berkembang pada kadar purata sebanyak 5.6%, membawa bersamanya begitu banyak peluang pekerjaan serta kemakmuran kepada rakyat.

Yang ketiga, izinkan saya untuk menyentuh mengenai transformasi politik. Sejak tahun 2009, saya telah menyahut seruan rakyat yang inginkan lebih banyak kebebasan dengan memperkenalkan pakej reformasi politik yang telah mencatatkan peningkatan terbesar dalam sejarah kebebasan awam negara sejak merdeka. Ini termasuklah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, memberikan kelonggaran terhadap penyertaan pelajar dalam politik, memerdekakan undang-undang berkenaan media dan memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman. Saya juga sedang melihat untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan undang-undang yang lebih sesuai untuk zaman kita kini.

Hal yang ke-empat adalah kepimpinan global. Adalah penting bagi Malaysia untuk mengekalkan hubungan yang erat dengan sekutu dan jiran-jirannya dan bertindak sebagai pengaruh yang positif di persada dunia. Dalam hal ini, kita telah bekerja keras dan dengan niat yang mulia, membantu menggalakkan keamanan yang berkekalan di kawasan-kawasan yang bermasalah di rantau kita ini. Melalui Pergerakan Kesederhanaan Global, kita juga telah cuba untuk merapatkan jurang perbezaan antara Timur dan Barat serta menunjukkan bahawa Islam adalah satu agama keamanan. Pergerakan Kesederhaan Global telah mendapat pujian daripada ramai pemimpin-pemimpin dunia, termasuklah Presiden Obama dan Perdana Menteri Britain, David Cameron.

Akhir sekali, izinkan saya menyentuh mengenai penglibatan Kerajaan dengan rakyat. Kami telah membuka pelbagai saluran dalam talian (online) yang baharu untuk memudahkan komunikasi antara Rakyat dengan Kerajaan. Melalui Facebook dan Twitter, saya bukan sahaja telah berpeluang untuk berkongsi maklumat malah dapat juga mendengar suara hati Rakyat. Apa yang nyata, era ‘Kerajaan tahu segalanya’ kini telah berakhir.

Meskipun pelbagai kejayaan telah berjaya dicapai, namun masih banyak lagi yang perlu diusahakan. Oleh itu, saya memerlukan sokongan anda. Sekiranya anda mempunyai rakan-rakan, ahli keluarga, atau rakan sekerja yang anda rasa ingin mengetahui mengenai kemajuan kita setakat ini, saya harap anda memberitahu mereka mengenai blog dan laman web ini. Marilah kita bersama-sama bergerak ke hadapan, dan menikmati empat tahun lagi yang penuh dengan kemajuan dan kemakmuran.

_______________________________________________

Tulisan ini dipetik daripada blog Perdana Menteri di www.1malaysia.com.my