Empat universiti awam (UA) yang juga universiti penyelidikan negara berjaya memperbaiki kedudukan, apabila disenaraikan antara universiti terbaik dunia dalam QS University Ranking 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam sidang media mengumumkan kedudukan terkini universiti tempatan pada Rabu berkata daripada senarai itu, Universiti Malaya (UM) kini berkedudukan ke-70 terbaik dunia, meningkat 17 anak tangga berbanding tahun lalu.

Berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020 yang dikeluarkan hari ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) kini di kedudukan ke-159 daripada kedudukan ke-202, Universiti Kebangsaan Malaysia di kedudukan ke-160 (184) dan Universiti Sains Malaysia ke-165 (207).

Turut menunjukkan peningkatan ialah Universiti Teknologi Malaysia yang naik 11 anak tangga daripada kedudukan 228 sebelum ini, katanya.

"Siri penarafan ini menyaksikan 20 universiti tempatan tersenarai dengan 10 daripadanya berjaya memperbaiki kedudukan, dua universiti mengekalkan kedudukan, tujuh universiti tersenarai untuk kali pertama, manakala sebuah universiti tergelincir dari kedudukan tahun lepas," katanya.

Sebanyak 15 institusi pendidikan tinggi tempatan awam dan swasta juga disenaraikan dalam 'top 1000' QS World Rankings, iaitu UCSI; Universiti Teknologi Petronas (UTP); Taylor's; Management & Science University (MSU); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Sunway University.

Turut tersenarai, Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Multimedia (MMU); Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Universiti Tenaga Nasional (UNITEN); Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Perkembangan itu membuktikan kerajaan berada di landasan tepat dalam menyediakan institusi pendidikan tinggi berkualiti ke arah Revolusi Industri 4.0," katanya.

Maszlee bagaimanapun menegaskan bahawa kementerian tidak memberi keutamaan kepada kedudukan atau ranking universiti, sebaliknya menekankan kecemerlangan budaya akademik dan peranan universiti sebagai penyelesaian masalah rakyat dan negara.

"Kementerian mengharapkan setiap universiti dapat menghasilkan para pengkaji dan kajian akademik yang boleh dijadikan rujukan di peringkat dunia, yang sekali gus membantu dalam mendapat kedudukan terbaik dalam ranking dunia," katanya.

-- BERNAMA